Bab 1
“LIHAT ni,
Sukma,” kata Rano sambil tangannya begitu
pantas mengaut timbunan guli-guli dari
lubang papan congkak ketika gilirannya mati. “Aku menang lagi kali ini. Yeah,
yeah.” Rano ketawa mengejek sehingga air
liurnya meleleh keluar. Dia menyapu lelehan air liur itu tetapi membiarkan
peluh mengalir laju di lehernya dek kerana cuaca panas yang melanda Ngaglik, desa
mereka. Sebuah desa terpencil di Jawa Timur.
Sukma memandang ke arah empat daripada tujuh lubang congkaknya yang
sudah kosong. Matanya redup. Nampaknya harapan untuk aku menang kali ini sangat
tipis, bisik hati kecilnya.
Mata Sukma tajam memandang ke arah rumah congkaknya. Hanya separuh penuh. Sukma menarik nafas panjang sambil
berputar-putar otaknya berfikir. Dia mesti
menang kali ini. Mesti. Kemudian dia menjeling ke arah rumah congkak Rano yang
tinggi seperti busut kecil. Rano memang pandai
bermain congkak kerana dia dua tahun lebih tua daripada aku. Aku baru sepuluh
tahun, tentulah susah untuk melawannya, pujuk Sukma di dalam hati.
“Ayuh dong, Giliran kamu deh. Tunggu
apa lagi?” sergah Rano. Dia tidak sabar
untuk menamatkan permainan mereka pada petang itu.
Sukma memulakan gilirannya. Satu-satu
guli-guli kecil dimasukkan ke dalam lubang congkak. Kali ini permainannya
perlahan tetapi lancar dan tenang.
Rano memandang sambil menongkat
dagu. Nafasnya mendesah. Terasa lama benar menunggu gilirannya semula. “Kamu
curang ya?” tanya Rano, meragui permainan Sukma. Sabarnya semakin tipis melihat
Sukma masih meneruskan permainan.
“Ngak. Malah aku tidak pernah
curang,” jawab Sukma dengan muka yang merah. Marah kerana dituduh menipu.
“Lihat ni...” Dia membuka genggaman tangannya yang kosong, membuktikan kepada
Rano. “Ngak ada apa-apa. Kosong!” jelasnya lalu meneruskan permainan.
Rano menjeling tajam dengan hati yang
panas. Bila agaknya giliran Sukma akan mati? Hati Rano mula mengerutu. Mata
Rano liar memerhati tangan Sukma. Lepas satu, satu lubang yang penuh berisi
guli, Sukma kaut ke dalam rumah congkaknya. Rano menggenggam tangannya dengan
kemas. Geram dan takut kalau-kalau Sukma dapat mengalahkannya.
Akhirnya giliran Sukma mati juga
tetapi mati di dalam kawasan rumahnya sendiri. Dia
berjaya lagi mengaut segenggam guli yang bertentangan. Dia tersenyum puas. Ada
harapan untuk menang kali ini, bisik hatinya yang kini berbunga girang. Dia
memandang Rano. Muncung Rano semakin tinggi.
“Walaupun habis guli aku kamu ambil,
aku tetap yakin hari ini kamu ngak bisa
menang!” Rano segera memulakan gilirannya dengan hati yang panas.
Sukma diam. Dia hanya melihat tenang
tangan Rano mengaut buah-buah guli dengan pantas lagi rakus. Mereka meneruskan
permainan sehingga semua guli sudah menimbun di dalam rumah congkak
masing-masing.
“Sekarang ayuh kita hitung. Rumah siapa yang paling banyak
guli.” Rano sudah tidak sabar untuk
mengetahui keputusannya. Mereka mula mengira. Satu, dua, tiga....
Akhirnya Rano tersenyum. “Rumah aku
ada 51 biji guli,” kata Rano bangga. Dia tahu dia sudah menang. Biarpun menang
tipis.
“Aku punya 47,” balas Sukma perlahan.
Sudah hampir benar. Bezanya hanya 3 biji sahaja, dengusnya. Harapannya untuk
menebus kekalahan semalam masih belum tercapai.
“Bukankah aku sudah bilang dari
tadi, aku pasti menang. Kamu masih tidak percaya. Masih mahu melawan aku.
Akulah juara congkak di kampuung ini. Tidak ada sesiapapun yang boleh melawan
aku.” Rano menggelekkan pinggulnya kemudian melompat-melompat. Lagaknya seperti
sang kera terkena cili padi.
“Alah, guli kamu cuma lebih tiga
biji.” Sukma sedih tetapi dia cuba menelan kesedihan itu.
“Tiga biji pun dikira menang juga.”
Rano mencemikkan mukanya pada Sukma. Kemudian dia menggoyangkan bontotnya
beberapa kali sehingga terlondeh sehingga ke lutut. Suka benar hatinya. Sudah
tiga hari berturut-turut dia berjaya mengalahkan Sukma.
“Tidak mengapa, esuk aku datang lagi.
Kita lawan. Aku pasti esuk aku dapat tewaskan kamu,” kata Sukma terus bangun
meninggalkan Rano yang masih bersorak riang.
“Kalau kamu menang aku akan jadi orang
suruhanmu sepanjang hidupku. Segala katamu aku akan ikut,” kata Rano dalam tawa
yang panjang.
Sukma merenung tajam. Jauh ke dalam
mata Rano. Kamu tunggu ya. Esuk aku pasti
datang. Datang untuk menebus kekalahanku. Datang
untuk menang. Pasti menang. Itu janji Sukma di dalam hatinya.
ESUKNYA,
selepas sarapan pagi seperti hari-hari cuti sekolah yang lalu, Sukma mengekor
ibunya ke kebun sayur di belakang rumah mereka.
“Lepas saya bantu ibu betulkan
batas-batas sayur tu, saya mohon kebenaran ibu mahu ke rumah Rano ya,” pinta
Sukma.
“Setiap hari kamu ke sana. Tidak jemu-jemu?
Kamu mahu buat apa?” Ibunya mengomel.
Sukma terdiam, memandang selipar jepun
birunya yang penuh dengan tanah hitam.
“Hari ni jangan pergi. Esuk saja.
Lepas berkebun, kita balik. Tolong ibu masak. Badan ibu rasa tidak bermaya hari
ni. Cuaca terlalu panas,” kata ibunya sambil menimbun tanah untuk meninggikan
batas-batas sayur. Meninggalkan Sukma yang masih tercegat berdiri.
Sukma mengeluh resah. Selalu ibu tidak
pernah melarang. Kenapa hari ini ibu menyoalnya bagaikan orang yang bersalah?
Tapi aku mesti pergi ke rumah Rano hari ini. Cuma hari ini untuk menebus
kekalahan semalam. Baru puas hati aku. Selepas itu, aku tidak perlu pergi lagi
sehingga sekolah bermula. Hatinya berkata-kata sambil tangan kecilnya sibuk
meleraikan tanah hitam yang berketul-ketul. Tetapi dia tidak berani menjawab
cakap ibunya. Suasana jadi sepi seketika. Kemudian Sukma terasa tangannya
kaku. Lalu dia duduk di tepi batas yang
sama tinggi dengan lututnya. Hajat hatinya mahu berehat.
Tiba-tiba anak matanya terpandang ke
arah seekor cacing tanah berwarna merah jambu meliuk-lintuk terkena cahaya
matahari yang semakin membahang. Segera dia menguis-nguis cacing tersebut
dengan hujung ibu jari kakinya. Tetapi cacing itu pantas menghilang ke dalam
tanah. Dia mengetap bibir. Geram.
Isy, kalau dapat tangkap, boleh juga
aku buat umpan memancing. Dia berangan sambil mengorek tanah dengan tangannya. Tetapi cacing itu sudah lenyap ke
dalam perut bumi menyelamatkan diri. Ah, rugi! Rugi! Keluhnya.
Ibu memandang ke arah Sukma. Tersenyum melihat gelagat anaknya yang
sedang menepuk-nepuk tanah yang melekat
pada tapak tangan. Setelah mengelap peluh yang merintik di dahi, dia meneruskan
semula kerja-kerjanya menggembur tanah.
“Aduuh!” Tiba-tiba Sukma menjerit. Dia
tersungkur ke tanah kerana tersepak seketul tanah keras sebesar buah kelapa
kerana asyik memikirkan cara untuk mengalahkan Rano nanti.
Spontan ibu menoleh ke arahnya.
“Kenapa Sukma? Ada apa?” tanya ibunya. Cemas.
“Ini....” jerit Sukma sambil menutup
mulut nya. “Gigi saya semakin kuat bergoyang.” Airmatanya mengalir
perlahan-lahan. Tangannya
menggoyang-goyangkan gigi susunya yang hampir tertanggal. “Seperti ada
darah keluar.”
Ibu menghampirinya. “Isy. Jangan
menangis. Orang kuat tidak menangis. Buka mulut. Biar ibu tengok.” Ibunya memegang
gigi Sukma yang bergoyang sambil mengamati lagak seorang doktor gigi. “Usah
kamu goyang-goyang lagi. Biarkan gigi itu tanggal sendiri.” Ibunya memegang
bahu Sukma. “Dengar sini. Kalau gigi sudah tanggal, jangan lupa letakkan di
dalam kasut buruk ayah kamu yang ada di bawah rumah kita.”
“Kasut buruk?” Dahi Sukma berkerut.
Matanya terbuka luas mendengar suruhan ibunya. Dia berhenti menangis kerana
mahu jadi orang kuat tetapi airmata masih kelihatan basah di pipinya yang gebu.
“Iya. Kata orang, jika kamu letakkan
gigi tu di dalam kasut, bila besar nanti
kamu pasti berjalan jauh. Jika ditanam di bawah dapur nanti pandai memasak.
Jika diletakkan di bawah tiang rumah, pandai buat rumah,” jelas ibunya
beriya-iya.
“Hmmm...” tangannya diletakkan di
bawah dagu, gaya orang yang sedang berfikir jauh sambil menahan sakit. “Jika
ditanam di hospital apabila sudah besar boleh jadi doktor? Begitu ya?” tanya
Sukma sungguh-sungguh. Dia terbayang dirinya berpakaian serba putih dengan
stetoskop tersangkut di leher. Senyumnya semakin lebar.
“Entah. Mungkin juga.” Ibunya
tersengih. “Pandai betul kamu mereka cerita.”
“Gigi ibu tersusun cantik. Tidak
seperti gigi saya yang separuh rongak.”
Sengih ibunya semakin panjang. Sukma
ikut tersengih. Dengan tiba-tiba dia rasa teruja. “Saya mahu berjalan jauh.
Kalau begitu saya akan cari kasut buruk ayah.” Di dalam hati dia berkata
sendiri, untung juga dapat berjalan jauh. Tapi ke mana? Ke Jakarta barangkali.
Hanya Jakarta yang ayahnya selalu sebut-sebut. Kata ayah, Kota Jakarta itu sibuk.
Matanya terpejam celik beberapa kali. Mana mungkin. Jakarta terlalu jauh. Ahhh,
mustahil! Fikirnya lagi.
bersambung...
No comments:
Post a Comment