Search This Blog

Sunday 22 July 2012

Berjuta Warna Pelangi - Bab 1



Bab 1

“LIHAT ni, Sukma,” kata Rano sambil tangannya begitu pantas  mengaut timbunan guli-guli dari lubang papan congkak ketika gilirannya mati. “Aku menang lagi kali ini. Yeah, yeah.”  Rano ketawa mengejek sehingga air liurnya meleleh keluar. Dia menyapu lelehan air liur itu tetapi membiarkan peluh mengalir laju di lehernya dek kerana cuaca panas yang melanda Ngaglik, desa mereka. Sebuah desa terpencil di Jawa Timur.
Sukma memandang ke arah  empat daripada tujuh lubang congkaknya yang sudah kosong. Matanya redup. Nampaknya harapan untuk aku menang kali ini sangat tipis, bisik hati kecilnya.
            Mata Sukma tajam memandang ke arah rumah congkaknya.  Hanya separuh penuh.  Sukma menarik nafas panjang sambil berputar-putar otaknya berfikir. Dia mesti menang kali ini. Mesti. Kemudian dia menjeling ke arah rumah congkak Rano yang tinggi seperti busut kecil. Rano memang pandai bermain congkak kerana dia dua tahun lebih tua daripada aku. Aku baru sepuluh tahun, tentulah susah untuk melawannya, pujuk Sukma di dalam hati.
“Ayuh dong, Giliran kamu deh. Tunggu apa lagi?” sergah  Rano. Dia tidak sabar untuk menamatkan permainan mereka pada petang itu.
Sukma memulakan gilirannya. Satu-satu guli-guli kecil dimasukkan ke dalam lubang congkak. Kali ini permainannya perlahan tetapi lancar dan tenang.
            Rano memandang sambil menongkat dagu. Nafasnya mendesah. Terasa lama benar menunggu gilirannya semula. “Kamu curang ya?” tanya Rano, meragui permainan Sukma. Sabarnya semakin tipis melihat Sukma masih meneruskan permainan.
            “Ngak. Malah aku tidak pernah curang,” jawab Sukma dengan muka yang merah. Marah kerana dituduh menipu. “Lihat ni...” Dia membuka genggaman tangannya yang kosong, membuktikan kepada Rano. “Ngak ada apa-apa. Kosong!” jelasnya lalu meneruskan permainan.
Rano menjeling tajam dengan hati yang panas. Bila agaknya giliran Sukma akan mati? Hati Rano mula mengerutu. Mata Rano liar memerhati tangan Sukma. Lepas satu, satu lubang yang penuh berisi guli, Sukma kaut ke dalam rumah congkaknya. Rano menggenggam tangannya dengan kemas. Geram dan takut kalau-kalau Sukma dapat mengalahkannya.
Akhirnya giliran Sukma mati juga tetapi  mati  di dalam kawasan rumahnya sendiri. Dia berjaya lagi mengaut segenggam guli yang bertentangan. Dia tersenyum puas. Ada harapan untuk menang kali ini, bisik hatinya yang kini berbunga girang. Dia memandang Rano. Muncung Rano semakin tinggi.
“Walaupun habis guli aku kamu ambil, aku tetap yakin hari ini  kamu ngak bisa menang!” Rano segera memulakan gilirannya dengan hati yang panas.
            Sukma diam. Dia hanya melihat tenang tangan Rano mengaut buah-buah guli dengan pantas lagi rakus. Mereka meneruskan permainan sehingga semua guli sudah menimbun di dalam rumah congkak masing-masing.
“Sekarang ayuh  kita hitung. Rumah siapa yang paling banyak guli.” Rano sudah  tidak sabar untuk mengetahui keputusannya. Mereka mula mengira. Satu, dua, tiga....
Akhirnya Rano tersenyum. “Rumah aku ada 51 biji guli,” kata Rano bangga. Dia tahu dia sudah menang. Biarpun menang tipis.
            “Aku punya 47,” balas Sukma perlahan. Sudah hampir benar. Bezanya hanya 3 biji sahaja, dengusnya. Harapannya untuk menebus kekalahan semalam masih belum tercapai.
            “Bukankah aku sudah bilang dari tadi, aku pasti menang. Kamu masih tidak percaya. Masih mahu melawan aku. Akulah juara congkak di kampuung ini. Tidak ada sesiapapun yang boleh melawan aku.” Rano menggelekkan pinggulnya kemudian melompat-melompat. Lagaknya seperti sang kera terkena cili padi.
            “Alah, guli kamu cuma lebih tiga biji.” Sukma sedih tetapi dia cuba menelan kesedihan itu.
            “Tiga biji pun dikira menang juga.” Rano mencemikkan mukanya pada Sukma. Kemudian dia menggoyangkan bontotnya beberapa kali sehingga terlondeh sehingga ke lutut. Suka benar hatinya. Sudah tiga hari berturut-turut dia berjaya mengalahkan Sukma.
“Tidak mengapa, esuk aku datang lagi. Kita lawan. Aku pasti esuk aku dapat tewaskan kamu,” kata Sukma terus bangun meninggalkan Rano yang masih bersorak riang.
“Kalau kamu menang aku akan jadi orang suruhanmu sepanjang hidupku. Segala katamu aku akan ikut,” kata Rano dalam tawa yang panjang.
Sukma merenung tajam. Jauh ke dalam mata Rano.  Kamu tunggu ya. Esuk aku pasti datang. Datang untuk menebus kekalahanku. Datang untuk menang. Pasti menang. Itu janji Sukma di dalam hatinya.

ESUKNYA, selepas sarapan pagi seperti hari-hari cuti sekolah yang lalu, Sukma mengekor ibunya ke kebun sayur di belakang rumah mereka.
“Lepas saya bantu ibu betulkan batas-batas sayur tu, saya mohon kebenaran ibu mahu ke rumah Rano ya,” pinta Sukma. 
“Setiap hari kamu ke sana. Tidak jemu-jemu? Kamu mahu buat apa?” Ibunya mengomel.
Sukma terdiam, memandang selipar jepun birunya yang penuh dengan tanah hitam.
“Hari ni jangan pergi. Esuk saja. Lepas berkebun, kita balik. Tolong ibu masak. Badan ibu rasa tidak bermaya hari ni. Cuaca terlalu panas,” kata ibunya sambil menimbun tanah untuk meninggikan batas-batas sayur. Meninggalkan Sukma yang masih tercegat berdiri.
Sukma mengeluh resah. Selalu ibu tidak pernah melarang. Kenapa hari ini ibu menyoalnya bagaikan orang yang bersalah? Tapi aku mesti pergi ke rumah Rano hari ini. Cuma hari ini untuk menebus kekalahan semalam. Baru puas hati aku. Selepas itu, aku tidak perlu pergi lagi sehingga sekolah bermula. Hatinya berkata-kata sambil tangan kecilnya sibuk meleraikan tanah hitam yang berketul-ketul. Tetapi dia tidak berani menjawab cakap ibunya. Suasana jadi sepi seketika. Kemudian Sukma terasa tangannya kaku.  Lalu dia duduk di tepi batas yang sama tinggi dengan lututnya. Hajat hatinya mahu berehat.
Tiba-tiba anak matanya terpandang ke arah seekor cacing tanah berwarna merah jambu meliuk-lintuk terkena cahaya matahari yang semakin membahang. Segera dia menguis-nguis cacing tersebut dengan hujung ibu jari kakinya. Tetapi cacing itu pantas menghilang ke dalam tanah.  Dia mengetap bibir. Geram.
Isy, kalau dapat tangkap, boleh juga aku buat umpan memancing. Dia berangan sambil mengorek tanah dengan  tangannya. Tetapi cacing itu sudah lenyap ke dalam perut bumi menyelamatkan diri. Ah, rugi! Rugi! Keluhnya.
Ibu memandang ke arah  Sukma. Tersenyum melihat gelagat anaknya yang sedang  menepuk-nepuk tanah yang melekat pada tapak tangan. Setelah mengelap peluh yang merintik di dahi, dia meneruskan semula kerja-kerjanya menggembur tanah.
“Aduuh!” Tiba-tiba Sukma menjerit. Dia tersungkur ke tanah kerana tersepak seketul tanah keras sebesar buah kelapa kerana asyik memikirkan cara untuk mengalahkan Rano nanti.
Spontan ibu menoleh ke arahnya. “Kenapa Sukma? Ada apa?” tanya ibunya. Cemas.
“Ini....” jerit Sukma sambil menutup mulut nya. “Gigi saya semakin kuat bergoyang.” Airmatanya mengalir perlahan-lahan. Tangannya  menggoyang-goyangkan gigi susunya yang hampir tertanggal. “Seperti ada darah keluar.”
Ibu menghampirinya. “Isy. Jangan menangis. Orang kuat tidak menangis. Buka mulut. Biar ibu tengok.” Ibunya memegang gigi Sukma yang bergoyang sambil mengamati lagak seorang doktor gigi. “Usah kamu goyang-goyang lagi. Biarkan gigi itu tanggal sendiri.” Ibunya memegang bahu Sukma. “Dengar sini. Kalau gigi sudah tanggal, jangan lupa letakkan di dalam kasut buruk ayah kamu yang ada di bawah rumah kita.”
“Kasut buruk?” Dahi Sukma berkerut. Matanya terbuka luas mendengar suruhan ibunya. Dia berhenti menangis kerana mahu jadi orang kuat tetapi airmata masih kelihatan basah di pipinya yang gebu.
“Iya. Kata orang, jika kamu letakkan gigi tu di  dalam kasut, bila besar nanti kamu pasti berjalan jauh. Jika ditanam di bawah dapur nanti pandai memasak. Jika diletakkan di bawah tiang rumah, pandai buat rumah,” jelas ibunya beriya-iya.
“Hmmm...” tangannya diletakkan di bawah dagu, gaya orang yang sedang berfikir jauh sambil menahan sakit. “Jika ditanam di hospital apabila sudah besar boleh jadi doktor? Begitu ya?” tanya Sukma sungguh-sungguh. Dia terbayang dirinya berpakaian serba putih dengan stetoskop tersangkut di leher. Senyumnya semakin  lebar.
“Entah. Mungkin juga.” Ibunya tersengih. “Pandai betul kamu mereka cerita.”
“Gigi ibu tersusun cantik. Tidak seperti gigi saya yang separuh rongak.”
Sengih ibunya semakin panjang. Sukma ikut tersengih. Dengan tiba-tiba dia rasa teruja. “Saya mahu berjalan jauh. Kalau begitu saya akan cari kasut buruk ayah.” Di dalam hati dia berkata sendiri, untung juga dapat berjalan jauh. Tapi ke mana? Ke Jakarta barangkali. Hanya Jakarta yang ayahnya selalu sebut-sebut. Kata ayah, Kota Jakarta itu sibuk. Matanya terpejam celik beberapa kali. Mana mungkin. Jakarta terlalu jauh. Ahhh, mustahil! Fikirnya lagi.

bersambung...