Search This Blog

Monday 7 October 2013

Setelah Hati Berbunga - Prolog 2


Prolog 2

 “Syafiiiq!” jerit kakaknya. “Semalam lipstik akak ada atas meja solek ni. Sekarang dah ghaib! Kamu mesti tahu mana lipstik kakak tu!”

Syafiq muncul di muka pintu bilik kakaknya. “Eleh, Kak Sal  ni. Mana kita tahu!” Syafiq menarik muka masam. Matanya menjeling tajam ke arah kakaknya yang sedang bercekak pinggang.   “Hilang lipstik, tuduh kita! Hilang bedak, tuduh kita! Hilang baju dalam pun, tuduh kita. Nasib baik hilang seluar dalam tak tuduh kita! Ingat kita suka sangat ambil barang dia!”

“Habis kalau bukan Syafiq yang ambil, sapa yang nak ambil? Sapa lagi yang ada dalam rumah ni? Takkan nenek kebayan yang ambil pulak.” Muka kakaknya sudah mencuka.

“Nenek kebayan oooi...” jerit Syafiq nyaring. “Tolong bagi tau siapa yang ambil lipstik kakak akuuu...” Syafiq mempermainkan kakaknya.

“Tengok, bibir tu merah, kalau bukan lipstik akak yang Syafiq pakai, lipstik sapa? Tak malu, orang lelaki  pakai lipstik!”

“Oops!” Syafiq bergegas ke bilik tidurnya. Cepat-cepat dia mencapai tisu, lalu mengesat  bibirnya yang merah bergincu. ‘Habis rahsia aku!’ Dia membuka laci. Tangannya ligat mencari sesuatu di hujung laci. ‘Ah, ada pun.’ Dia bergegas semula ke luar bilik, mendapatkan kakaknya yang masih merah padam mukanya dan tangan di pinggang.

“Maaf. Mak masak kari, adik naik lori, masuk dalam kuari, terus dia menari.” Syafiq menjulingkan matanya sambil menghulurkan lipstik kakaknya, dengan lagak orang yang sedang menari.

Kakaknya mengambil lipstik. “Biul betul kamu ni! Apa kena kari, lori, kuari  dengan lipstik akak?”

“Itu pantun spontan namanya. Kakak ni tak ada seni bahasa langsung.”

“Itu bukan pantun spontan. Tapi pantun pondan!” Kakaknya mencebik.

“Tak baik sebut perkataan ‘pondan’ tau! Sensitif sampai ke tulang hitam!” Melihat kakaknya hendak melangkah pergi, dia memanggil, “Kak,  jangan pergi dulu. Syafiq nak pinjam sesuatu dari akak. Boleh?”

“Pinjam?! Ini mesti kes nak pinjam baju akak lagi. Akak beritahu opah nanti.”

“Eh, jangan lah beritahu opah. Nanti opah kena sakit jantung,  menyesal seumur hidup kakak.”

“Cabulnya mulut! Nak pinjam apa kali ni? Gelang? Rantai? ”

Syafiq tersengih-sengih. Giginya yang jarang nampak jelas. Tangannya menggeliat ke kiri dan kanan.

“Pinjam apa?” tanya kakaknya tidak sabar lagi. “Terliuk-lintuk macam cacing kepanasan.  Geli akak tengok. Cakap je lah. Biar terang,  jelas dan  nyata!”

“Pinjam beg tangan merah akak, boleh?” Syafiq tersengih lagi.

 “Beg merah? Mana akak ada beg merah? Yang mengerlip, opah punya  tu adalah. Nak buat apa?”

“A..ah, yang itu lah. Tak payah tanya kita nak buat apa. Suka hati kitalah. Takkan nak buat pergi mengail ikan pulak. Yang penting, akak bagi pinjam ke tidak?” Suara Syafiq sudah separuh merajuk.

“Kalau tak mahu kasi tahu nak buat apa, kakak tak bagi pinjam.”

“Alah, kakak  ni menyibuk  pulak.” Mulut Syafiq sudah muncung.  Ada pertunjukan fesyen di sekolah.”

“Syafiq yang nak pakai ya!”

“Kawan Syafiqlah! Banyak betul soalan kakak. Macam inspektor polis pulak. Nak bagi pinjam ke tidak?” Syafiq mendesak.

“Ambillah. Tapi jaga elok-elok tau. Beg tu dah tak ada lagi di Malaysia ni. Antik!”

Syafiq tersenyum girang. Dia mengenyitkan matanya dengan manja. “Macam itulah caranya. Kakak tua ayam didik, kakak yang tua sayangkan adik.” Syafiq ketawa sambil berlenggang masuk ke dalam biliknya.

“Eee, tak habis-habis dengan pantun dia tu. Geli!” kata kakaknya tetapi dalam pada itu, dia bangga dengan kebolehan adiknya pantas bermain dengan kata-kata.

 Setelah Syafiq berlalu, Salmah memerhati langkah adiknya dengan sayu. ‘Kesian adik aku. Apalah nak jadi dengan dia nanti? Boleh ke dia betul-betul jadi lelaki suatu hari nanti. Patutnya dia jadi pengganti ayah, tapi...” Salmah mengeluh panjang. Matanya mula berkaca-kaca.

Friday 13 September 2013

Katakan Ya, Talia - Bab 1







 
Bab 1

 “Talia,” panggil Areef, bekas kawan sekelasnya semasa di Tingkatan 3. “Talia!”

Talia menoleh. Tetapi dia tidak menyahut.  Dia meneruskan langkahnya yang pantas menuju ke pintu pagar utama sekolah.

“Talia,” panggil Areef lagi. Kali ini dia berlari ke arah Talia. “Kenapa tergesa-gesa ni? Janji nak makan tengahari di kantin bersama-sama saya hari ini.” Suara Areef termengah-mengah.

“Saya nak balik,” jawab Talia, tanpa memandang Areef dan dia melangkah terus menuju ke perhentian bas.

“Kenapa ni Talia? Masam macam buah mangga muda je?” usik Areef sambil tersenyum, menampakkan lesung pipit.

Usikan Areef membuat muka Talia bertambah kelat.

“Ai, sudahlah masam, kelat pula. Saya ada buat salah apa-apa terhadap awak ke? Semalam awak elok je. Awak marahkan saya sebab saya tak sempat teman awak makan di kantin pagi tadi? Saya terbangun lewat la. Semalam saya tengok bola sampai pukul 4 pagi. Awak maafkan saya ya.”

Talia menjeling tajam ke arah Areef. Tiba-tiba wajah ummi dan papa menjengah di benaknya. Dia mengeluh panjang. Saat itu juga bas sekolah sudah sampai. Tanpa berkata apa-apa dia menaiki bas itu, meninggalkan Areef yang kebingungan. 

“Isy. Susah nak layan mood orang perempuan ni.” Areef menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia memandang ke arah bas sekolah pergi dengan perasaan hampa.   “Entah-entah dia tengah period.” Areef meneka. Dia tersenyum. “Esuk baiklah dia tu. Kalau tidak esuk, lusa. Kalau tidak lusa, tulat.” Areef cuba memujuk hatinya menuju ke tempat letak motosikal.

        

TALIA memegang tangan papanya erat. Papanya tidak berkata apa-apa. Hanya mereka berdua sahaja berjalan-jalan di taman yang begitu asing bagi Talia. Dia memakai baju gaun merah, berbaju sejuk biru.  Ketika itu umurnya   dalam lingkungan 3 tahun. Umminya tidak kelihatan.

          Di taman itu, bunga-bunga daisi putih dan bunga-bunga kuning kecil  melata di atas tanah. Terasa dingin sehingga sampai ke tulang hitam. Dia mendongak ke langit biru. Kelihatan sedikit tompokan awan putih lagi bersih. 

          Tiba-tiba seekor anjing hitam yang sama tinggi dengannya meluru ke arah mereka dari arah hadapan. Dia terkejut dan lalu melepaskan tangan papanya. Dia membuka langkah seribu.

          “Talia! Talia! Jangan lari! Anjing itu tidak akan mengapa-apakan kamu jika kamu tidak lari,” jerit papanya. Namun Talia tidak peduli. Dia merapatkan matanya dan berlari sekuat tenaga.

Tiba-tiba dia membuka mata. Terasa peluh dingin membasahi tubuhnya. Ah! Aku bermimpi rupa-rupanya, kata Talia. Entah bila dia terlelap. Dia mengerling ke arah jam loceng di atas meja.  11.00 malam.

Suasana sekeliling senyap sunyi. Pasti ummi juga sudah tidur di dalam biliknya. Dia menarik semula bantal peluknya. Mindanya masih berlegar pada mimpi sekejap tadi.

Matanya sudah tidak mahu pejam lagi. Tangannya meraba ke bawah bantal. Mencari-cari diari merah hadiah papa yang masih baru biarpun sudah setengah tahun berlalu.

Dia bencikan papa! Sungguh dia benci! Kerana itu hadiah pemberian papa  dibiarkan begitu saja. Tetapi semalam dia mencari semula diari itu dengan bersungguh-sungguh. Untuk pertama kalinya dia mencatatkan sesuatu di dalam diari itu.

Perlahan-lahan Talia  membuka diari itu. Matanya liar memandang catatan yang ditulisnya semalam.

Tarikh : Jun, Minggu pertama

Aku cukup geram dan benci pada semua orang hari ini! Mengapa semua orang mesti marah bila aku ketawa?

“Oooi, kalau nak ketawa tu, biarlah bersopan sikit. Bunyi macam monyet ketawa.” Aku dengar suara salah seorang pelajar perempuan di belakang kelas mengata aku! “Kalau monyet kurus tak apa juga. Ini monyet gemuk yang suka makan pisang montel.”

Berdesing teling aku dibuatnya. Aku tak pasti suara betina mana sebab kelas terlalu bising waktu itu.

Kemudian aku terdengar pula  seorang pelajar lelaki menyampuk, “Monyet betina memang macam tu! Suka mengilai macam hantu dalam hutan!” Disambut dengan hilai ketawa budak-budak lelaki yang lain.

Aku semakin geram. Aku toleh ke belakang. Telinga aku merah. Muka aku tadi berseri-seri kini bertukar menjadi geram! Apalagi aku terus bangkit dari kerusi. Dengan bercekak pinggang, aku menjerit. “Siapa yang kata aku monyet tadi?” Suara aku lantang seperti pelakon teater yang sedang beraksi di atas pentas. “Jawab!” Bagai halilintar aku menjerit.

Talia masih ingat kektika itu semua pelajar terdiam. Semua tunduk memandang lantai.   Matanya menyasar ke arah setiap pelajar  yang seramai 37 orang di dalam kelasnya. Kemudian matanya terpaku pada Jazly. Pelajar kacukan orang putih dan orang Melayu yang baru dua hari masuk ke kelas. ‘Tidak mungkin pelajar baru itu begitu berani mengata aku,’ hatinya berbisik.

“Kenapa semua macam tikus? Kalau berani bersuaralah. Jangan berani di belakang. Dasar manusia pengecut!” Dia melaung lagi seperti singa lapar.

Suasana dalam kelas terus  senyap tetapi kali ini semua mata tertumpu kepadanya. Dia terus bertempik. “Bagi tahu aku, berapa kali kau orang pernah dengar aku ketawa macam monyet hah? Selalu ke aku ketawa  macam ni? Kalau aku ketawa kamu mengata! Kalau aku menangis pun kau orang mengata juga!”.

Badannya menggeletar.

Mei Ling memegang tangannya. “Sudahlah Talia,” pujuk Mei Ling.  

Dia tidak peduli! Dia benar-benar sudah terbakar! Sabarnya  sudah hilang. Dia mahu menyambung lagi. Tetapi dia teringat kata-kata ustazah. Tarik nafas 10 kali ketika marah. Baca Qulhuallah hu ahad berulang kali. Ketika itu juga dia ternampak Cikgu Amirah melangkah masuk ke dalam kelas.

Cikgu Amirah hairan. “Kenapa Tingkatan 4 SS3 senyap sunyi?” tanya Cikgu Amirah sinis sambil matanya memandang sekeliling. “Kamu semua sihat?”

Hasrat hatinya untuk terus membelasah kawan-kawan sekelasnya terpaksa dibatalkan saja. Dia tunduk memandang mejanya. Tiba-tiba terasa airmatanya  hangat mengalir ke pipi. Cepat-cepat dia menyeka airmata. Bimbang  ada kawan lain terlihat dan akan mengejeknya.

“Dalam mata pelajaran Sejarah, kita mahu memupuk  semangat setia negara.” Cikgu Amirah memulakan pengajarannya. “Talia, beri satu contoh bagaimanakah caranya kita hendak menunjukkan semangat itu.”

Dia terkejut apabila terdengar Cikgu Amirah menyebut namanya. Apa lagi, semua mata sekali lagi tertumpu kepadanya ‘Ah, benci! Kenapa aku yang jadi sasaran hari ini!’ Dia  merungut perlahan. Panasnya masih belum reda.

“Talia, kenapa kamu masih duduk? Tolong berikan satu contoh.” Pinta Cikgu Amirah lagi.

Dia jadi gugup. Lututnya lemah. Dia tidak dapat bangun. Punggungnya terpaku pada kerusi dan kepalanya masih tunduk memandang Buku Sejarah di atas meja.  Dia dapat rasakan kawan-kawan yang lain sudah pasti akan mengejeknya lagi selepas ini.

“Berani dan sanggup mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara...” tiba-tiba ada suara yang menjawab dari belakang. Suara lelaki yang lunak dan teratur sebutannya bagi setiap perkataan.

Serentak semua kepala berpaling ke belakang. Mencari-cari suara siapakan tadi. Termasuk dia.

“Siapa yang jawab tadi?” tanya Cikgu Amirah.

Tidak seorang pun berbunyi. Seperti ada malaikat yang lalu.

“Tepat jawapan tu,” puji Cikgu Amirah. “Bagus. Nasib baik ada yang menyelamatkan Talia.”

Beberapa orang pelajar bertepuk tangan. Ada yang bersiul-siul girang. Cikgu Amirah menggelengkan kepalanya kemudian dia meneruskan pengajarannya pada hari itu.

Baginya, hari itu Kelas Sejarah berlalu begitu saja. Hambar. Satu fakta pun tidak masuk  ke dalam mindanya. Dia masih tertanya-tanya siapa yang memanggilnya ‘monyet betina’ sebelum itu dan siapa pula yang menjawab soalan yang diberikan oleh Cikgu Amirah tadi.

TALIA terkejut kerana pintu biliknya dibuka. Secepat kilat dia menyorokkan diari merah di bawah bantal. Rasa geram masih belum reda.

          “Kamu belum tidur?” tegur Puan Maryam. “Dah dekat pukul 12 tengah malam. Esuk nak bangun pagi. Berapa kali ummi nak ingatkan. Penat badan kalau tidur tak cukup. Tak boleh tumpu pada pelajaran nanti.” Puan Maryam sudah memulakan khutbah malam.

          Tekaannya salah tadi. Ingatkan umminya sudah tidur.

“Ummi pergi tidur dulu. Sekejap lagi saya tidur.”

“Tiap-tiap malam kamu suruh ummi tidur dulu. Lepas tu entah pukul berapa pula kamu akan tidur. Bila pagi liat nak bangun. Cakap ummi ni sikit pun tak laku. Susah betul budak-budak sekarang. Kita cakap salah, kita tak cakap pun salah juga!” Puan Maryam sempat berleter sebelum berlalu. Dia terpaksa meninggalkan bilik anaknya. Matanya sudah berat. Berserabut otaknya memikirkan hal anak gadis tunggalnya itu.

Saturday 31 August 2013

Bulan Madu di Yarra Valley - Bab 1

 

SUASANA bingit. Sudah berkali-kali telefon di atas meja penyambut tetamu itu berdering tanpa jawapan.

“Aneeta, tolonglah angkat telefon tu,” pinta David Tan yang sedang menyusun gambar-gambar klien yang baru dicetak untuk dijadikan kolaj. Klien yang baru melangsungkan perkahwinan mereka seminggu yang lalu.

“Saya pun tengah sibuk ni! Tugasan yang diberikan kepada saya perlu siap hujung minggu ini.” Aneeta mengeluh, tetapi dia bangun juga untuk menjawab panggilan telefon itu.

Beberapa minit kemudian, Aneeta kembali ke mejanya. Tekaknya berasa loya dan badan sedikit terhuyung-hayang. Matanya sudah berpinar-pinar memandang skrin komputer sejak jam 8.00 pagi tadi.

“Panggilan untuk awak lagi? Kali ini klien yang mana pula?” tanya David Tan.

“Siapa lagi? Puan Sri Laila! Dia tengah risau.”

“Awak pergilah rehat dulu. Dah pukul 11.30. Pandang skrin komputer lama-lama tak bagus untuk mata dan fizikal kita. Dari semalam, saya tengok awak sangat stres.” David Tan menghampiri meja Aneeta. Wajah kacukan itu ditenungnya lama-lama.

“Kalau saya pergi rehat sekarang, tengah hari nanti, Puan Sri Laila telefon, saya nak jawab apa?” Dahi Aneeta berkerut seribu. Rambutnya yang lurus paras bahu itu diselak ke belakang.

“Puan Sri dah beritahu bos, perkahwinan putera sulungnya dengan pelakon wanita yang tengah panas sekarang, mesti lain daripada yang lain. Dia nak jadikan wedding of the year! Pening kepala saya memikirkannya. Itu yang saya sedang buat research ni, untuk dapatkan kelainan itu. Kenapalah bos tak beri tugasan ini kepada staf lain... ” Bunyinya seperti Aneeta merungut, tetapi yang sebenarnya terselit rasa bangga kerana dia diberi kepercayaan itu.

“Awak kan seorang yang kreatif, positif dan sangat komited. Awak adalah seorang perancang perkahwinan yang sudah menjadi sebutan dan rebutan di Plan-to-Wed ni. Pilihan awak ada kelas gitu! Jadi, tak hairanlah kalau bos mahu awak yang rancang dan uruskan perkahwinan anak Puan Sri Laila,” puji David Tan yang fasih berbahasa Melayu.

“Awak pun apa kurangnya. Mahir dalam bidang fotografi. Pengantin yang cantik jadi lebih cantik apabila dah siap di photoshop. Tapi, saya tak termakan pun dengan pujian awak yang tinggi melangit tu. Yang penting, selepas uruskan perkahwinan anak Puan Sri, saya nak pergi bercuti. Cuti panjang! Tahun ini saja sudah lima perkahwinan yang saya uruskan!”

“Kalau bos tak luluskan, awak nak buat apa?” usik David Tan.

Aneeta menjegilkan biji matanya. “Kalau bos tak luluskan, saya akan berhenti kerja! Buat bisnes sendiri!”

David Tan teruja mendengar kata-kata Aneeta hendak membuka perniagaan sendiri. Dengan suara yang separuh berbisik dia berkata, “kalau macam tu awak kahwin dengan saya. Kita buat bisnes ni sama-sama. Saya boleh carikan modal.”

“Kahwin dengan awak?!” Terbeliak mata Aneeta memandang David Tan. “Jauh panggang daripada api. Selagi tak ada percikan api cinta dari dalam sanubari ini, jangan harap saya akan kahwin.”

“Takkan sikit pun awak tak ada perasaan terhadap saya?” David Tan menduga.

Aneeta ketawa. “David, dalam kamus hidup saya, perkataan cinta tak pernah wujud tau. Dulu, kini dan selamanya!”

“Saya tak percaya!” David Tan menggelengkan kepalanya berkali-kali. “Perempuan jelita macam awak tak pernah bercinta? Mustahil! Saya masih ingat tahun lepas, ada bakal pengantin lelaki yang hampir memutuskan pertunangannya kerana jatuh cinta dengan awak. Ketika itu, saya berdoa siang dan malam agar awak menolak cintanya. Ternyata Tuhan makbulkan doa saya itu.” Air muka David Tan serius.

Aneeta tergelak mendengar kata-kata David Tan. “Apa itu cinta? Apa ada pada cinta? Semuanya palsu! Ada orang bercinta bagi nak rak. Kahwin macam anak-anak raja. Tapi cuba awak lihat, sudah berapa pasangan yang kita uruskan, yang awak ‘klik’ sana, ‘klik sini, album kahwin sampai 20 buah. Itu tak termasuk video kahwin, dan inai masih merah di jari, tetapi pinggang mangkuk sudah berterbangan. Akhirnya dari uda dan dara, mereka bergelar duda dan janda!” Berjela-jela Aneeta mentafsirkan falsafahnya tentang cinta dan perkahwinan.

David Tan mengeluh panjang. Dia cuba mencari helah untuk mematahkan hujah Aneeta. “Tapi kalau awak bercinta dengan saya, saya berjanji tidak akan jadi macam tu! Sumpah!” David Tan mengangkat tangan kanannya ke paras bahu.

Aneeta menyambut kata-kata David Tan dengan senyuman sinis. “Cinta? Awak ingat saya percaya pada cinta? Saya boleh mati kering sebab tidak ada cinta dalam hidup saya? Biar saya jelaskan ya, Encik David Tan. Cinta itu ibarat pelangi tau. Datang tak diundang. Cantik, tapi tak boleh dimiliki!”

“Jadi awak anggap diri awak tu pelangi? Cantik, tetapi tidak boleh dimiliki?” David Tan mengulangi kata-kata Aneeta.

“Tak, saya tak pernah meletakkan diri saya begitu. Cuma orang yang percaya wujudnya cinta, terjerumus ke lembah percintaan, akhirnya lemas dan hanyut dalam lautan cinta. Tak fasal-fasal hidup mereka merana kerana cinta yang tak bermakna! Uh, saya sungguh simpati dengan mereka. Saya tak mahu jadi orang bodoh, mengejar pelangi!”

David Tan sudah hampir tumpas. Dia menatap wajah itu lagi. “Bijaknya awak berhujah tentang cinta. Bunyinya macam orang pernah gagal dalam bercinta...”

Belum pun sempat David Tan menghabiskan ayatnya, Aneeta mencelah dengan nada yang agak tinggi. “Tolong sikit ya! Saya tidak pernah bercinta, tidak akan bercinta dan tidak mahu bercinta. Noktah!” Aneeta bangun. “Permisi dulu! Saya nak pergi minum kopi!”

“Saya temankan awak!”

“Terima kasih saja.”

Aneeta terus bangun, meninggalkan David Tan yang terkulat-kulat memandang lenggang-lengguk Aneeta menuju ke pintu keluar. ‘Keras betul hati perempuan jelita tu. Atau memang dia sengaja nak jual mahal. Tidak pun dia sedang menunggu anak raja turun dari kayangan baru dia nak kahwin. Alamat jadi anak dara bongkoklah jawabnya!’

ANEETA balik semula ke mejanya. Matanya melilau ke arah meja David Tan. Lelaki itu tidak ada. Aneeta tersenyum sendirian. ‘Merajuk agaknya anak muda itu.’ Dia menarik kerusi dan duduk semula menghadap skrin komputer.

Pada buku nota di sebelah komputer, dia ternampak ada sekeping nota pada kertas berpelekat merah jambu. Dia kenal benar tulisan itu...

Saya percaya CINTA akan terus mengejar awak!

Aneeta ketawa kecil. ‘Tak puas hati nampaknya dia. Masih nak berdebat soal cinta dengan aku! Malas aku nak layan!’’

Dia menghadap skrin komputernya semula. Dia perlu kumpulkan maklumat untuk dibincangkan dengan Puan Sri Laila apabila Puan Sri menelefon nanti. Pada sesarang Google, dia menaip ‘wedding in Australia.’

Terpapar pelbagai pautan dan antaranya ialah Yarra Valley. ‘Yarra Valley? Hmmm...tak pernah aku dengar tempat ni...’

Belum sempat dia klik pada pautan yang terpapar, telefon bimbitnya berdering. Aneeta mengerling pada jam di dinding. Jam 12.45 tengah hari. Pasti Puan Sri Laila yang menelefon.Tekaannya tepat!

“Awak sudah dapat idea untuk perkahwinan anak saya?”

“Err...” Sebenarnya dia masih belum bersedia. “Err...” ligat otaknya mencari jawapan. Jawapan yang munasabah. “Apa kata kalau kita buat perkahwinan tu dalam kereta api? Err... coach wedding,” spontan Aneeta menjawab. Entah dari mana dia mendapat ilham itu!

“Apa? Coach wedding? Tak pernah orang buat!”

“Ya, coach wedding! Garden wedding, pool wedding, seaside wedding, semua orang sudah buat. Naik kuda, naik perahu, naik kapal, naik helikopter, naik belon pun orang sudah buat. Apa kata untuk perkahwinan anak Puan Sri, kita buat dalam kereta api. Sewa koc kelas satu. Kita hias cantik-cantik. Pelamin dalam koc mewah. Semua jemputan naik kereta api. Makan pun dalam keretapi. Kita bawa mereka dari stesen kereta api Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Tan Sri kan orang Johor. Mesti Tan Sri suka dan meriah!”

Puan Sri Laila termangu-mangu mendengar cadangan Aneeta. ‘Biar betul ni. Wedding of the year atas kereta api!’ Puan Sri Laila terdiam seketika sambil berfikir. ‘Hmm... tapi memang betul kata dia. Belum pernah orang buat, bersanding di dalam kereta api. Mesti lain dari yang lain!’

“Okey, saya setuju! Wedding of the year on the train! Tapi, ini rahsia kita berdua. Awak jangan hebahkan kepada sesiapa. Terutama kepada para wartawan! Awak boleh mula merancangnya.” Puan Sri Laila terus meletakkan telefon.

Tiba-tiba Aneeta seakan-akan tersedar daripada kekalutannya tadi. ‘Eh, apa yang aku cakap pada Puan Sri tadi? Kahwin atas kereta api? Mana pernah orang buat?! Boleh sukses ke?’

Aneeta menongkat dagu di atas meja. Dia cuba membayangkan anak Puan Sri Laila dengan pelakon wanita popular itu melangsungkan perkahwinan atas kereta api. ‘Okey, juga. Tapi, apa kata bos nanti? Mungkin dia ingat aku sudah tak betul! Logik ke nak adakan majlis perkahwinan di dalam kereta api? Tapi, kalau dia kata memang unik idea aku ni, setuju ke Tan Sri dan anak bujang dia nanti?’ Berkerut dahi Aneeta memikirkannya....

Setelah Hati Berbunga - Prolog 1

 
 
 
Prolog 1
 
 
Lelaki itu berjalan mundar-mandir.  Mukanya kelat dan sesekali mengetap bibir. Matanya merah, bersinar-sinar memandang ke arah isterinya yang sedang menangis terisak-isak di tepi dinding dapur. Sudah sebulan dia menahan marah. Marah kerana dia menerima panggilan daripada seorang lelaki.  Lelaki itu  membuka rahsia kecurangan isterinya dengan bekas suaminya. Agar marahnya tidak berlarutan, dia membawa isterinya pulang ke rumah ayah dan emaknya di kampung. 
Petang itu ketika emak dan ayahnya keluar ke pekan dan isterinya berada di dapur,  dia menerima panggilan daripada lelaki yang sama. Memberitahu perkara yang sama. Kini lahar marahnya  kembali membuak-buak.
Sebelum pulang ke kampung,  dia menyoal isterinya secara baik. "Betul awak tidak ada apa-apa hubungan dengan bekas suami awak?"
Isterinya menafikan. Ketika itu tahap marahnya masih terkawal. Tetapi, kini sabarnya sudah benar-benar tercabar apabila pemanggil itu memanggilnya Pak Sanggup, lelaki dayus dan lelaki bacul.
"Baik awak mengaku! Awak sebenarnya ada hubungan sulit dengan bekas suami awak. Kalau awak tak nak mengaku juga, baik awak bungkus kain baju awak, saya hantar awak ke stesyen bas sekarang juga!" Lelaki itu merenung tepat ke dalam mata isterinya.
"Astaghfirullahalaziim. Percayalah abang, demi anak yang saya kandung ini, setelah kami bercerai saya tidak ada hubungan apa-apa dengan dia! Tolonglah abang, jangan percaya.  Semua tu fitnah..." Isterinya merayu lagi
Dia menyeringai ke arah isterinya. “Awak ingat saya ni bodoh sangat. Baju yang awak pakai pun dia boleh gambarkan pada saya. Masa dan ketikanya awak keluar pun dia tahu, masih tak jelas? Dan waktu itu, saya sedang berkursus di luar daerah. Tup-tup sembilan bulan lepas tu, awak mengandung!”
Kemudian dia menuding jari telunjuknya ke arah perut isterinya. “Sah, anak yang ada dalam perut awak tu, hasil hubungan sulit awak dengan bekas suami awak! Dan saya pulak yang terpaksa jadi pak sanggup! Sia-sia saya pilih dan tunggu awak untuk jadi suri dalam hidup saya!”
Isterinya hanya mampu menangis terisak-isak dengan menutup mukanya dengan kedua-dua telapak tangan. Perutnya yang memboyot terasa senak setelah terjatuh akibat terlanggar kerusi makan kerana mahu meluntut ke kaki suami.
Lelaki itu masih tidak berpuas hati. “Awak dengar sini baik-baik...” Membuak-buak dada lelaki itu menahan marah. Bengisnya menjadi-jadi seperti harimau kelaparan. “Saya  tak mahu jadi suami dayus! Awak tu, pakai tudung! Tutup lingkup! Mengaji siang malam. Mulut bertasbih tak berhenti. Alim konon. Mahukan anak yang soleh! Tapi mengandung anak haram!”
Isterinya terus menangis. Tapi kali ini tangisannya lain benar. Tangis memohon belas dan kasihan sambil memegang perutnya. Kata-kata kesat suaminya sudah tidak kedengaran di telinganya. Yang dia tahu perutnya berdenyut-denyut.
“Aduh! Perut saya sakit, bang. Tolonglah saya...” rayunya dengan lelehan air mata.
“Jangan minta tolong dengan saya. Pergilah cari bekas suami awak! Dia bapa budak dalam perut tu!  Biar anak itu mati, saya tidak peduli!   Kalau dia hidup pun, buat malu keluarga!”
 “Dah pecah ketuban, bang!” Muka isterinya pucat. Serta-merta isterinya berhenti menangis. “Tolonglah bang, bawa saya ke hospital...” Suaranya tertahan-tahan. Tubuh itu mengigil-gigil menahan kesakitan. Dia menyapu air mata yang tersisa dengan hujung lengan baju.
Lelaki itu nampak kain isterinya dibasahi air ketuban. Namun, sedikit pun tidak ada riak simpati pada muka lelaki itu. Yang ada hanya kebengisan dan kemarahan yang bergelora seperti lautan di musim tengkujuh.
“Tolonglah... saya. Kalau pun abang tak kesiankan saya, kesiankanlah anak yang bakal lahir ini.” Tangannya masih menampung perutnya yang semakin memulas-mulas tanda saat kelahiran semakin hampir.
“Eh, awak jangan mimpi yang saya akan tolong awak lahirkan budak tu!” Dia tersenyum pahit tanpa mempedulikan isterinya yang sedang mengerang kesakitan. “Saya bukan lelaki dayus tau! Boleh terima perbuatan sumbang awak! Kalau awak mati, anak awak pun ikut mati, dah kurang dua manusia berdosa dalam dunia ini!”
Petang itu, iblis memang sudah benar-benar memenuhi seluruh ruang dan urat nadinya. Dia bukan lagi manusia normal tetapi sudah diresapi dengan bisikan iblis. Dia tidak nampak, iblis sedang ketawa berdekah-dekah kerana lelaki itu sudah dapat ditaklukinya dengan api kemarahan.
“Astaghfirullahalazim...” Isterinya mengucap panjang kemudian dia menarik nafas perlahan-lahan. Giginya dikacip rapat, menahan sakit dengan mata tertutup. Kain yang dipakaiya semakin kuyup.
Ketika itu, juga Haji  Zakaria dan isterinya, Hajah Rukiah sampai di muka pintu. Mereka terkejut melihat menantunya, terjelepok di atas lantai. Serentak mereka mengucap panjang. Hajah Rukiah berlari naik dan terus memangku menantunya.
“Eh, Ehsan! Apa dah jadi?” jerkah Haji Zakaria, menjegilkan matanya ke arah Ehsan. “Kami tahu, walaupun Natrah tu isteri kamu, tapi dia anak orang! Kamu dah buang tabiat ke? Cepat kita bawa dia ke hospital! Nama saja Ehsan! Tapi, kat mana kamu campak ihsan kamu pada isteri kamu ni? Lelaki jenis apa kamu ini?” Tegang urat leher orang tua itu memarahi anaknya.
“Ayah nak bersubahat dengan perempuan jalang ini? Suka hati ayahlah! Saya tak nak ambil tahu. Tak nak masuk campur! Dan jangan cari saya selepas ni. Mulai hari ini, dia dengan anak dalam perut tu sekali adalah tanggungjawab mak dan ayah!” Ehsan terus angkat kaki. Dia menghempas pintu depan. Mengejutkan ayah, emak dan isterinya. Lalu dia keluar dari rumah dan menghilangkan diri dalam kegelapan malam...
 
 
 


Thursday 18 July 2013

Berjuta Warna Pelangi - Sedutan Bab 39

 
Dublin, Ireland...
 
“Kalian makanlah dulu. Aku nak ke bilik air sebentar,” kata Azrin terus bangun meninggalkan mereka berdua, yang duduk bertentangan. Muka Andrea semakin tunduk memandang hidangan di hadapan matanya.
Dino mendekatkan hidangan kepada Andrea. “Silakan makan Andrea. Rezeki di depan mata tak baik jika tidak disentuh. Aku ikhlas belanja kau makan.” Dino rindukan suara Andrea yang sentiasa prihatin terhadap makanan. Selalu benar jika mereka di kantin, Andrea selalu mengingatkan dia supaya jangan membazir makanan. Setiap kali dia makan, pinggannya pasti licin.
“Aku minta maaf. Bukan niatku untuk menghampakan harapanmu.” Tiba-tiba tersembur kata-kata itu dari mulut Andrea. Tanpa diduga dan tanpa dirancang. Dia rasa menyesal dengan kata-katanya. Tetapi sudah terlambat.
“Aku yang patut minta maaf. Meminta untuk dicintai dan menodai persahabatan kita dengan rasa cinta.” Dino mengambil kesempatan yang diberikan.
Mendengar kata-kata Dino, kerongkong Andrea tiba-tiba tersumbat. Kata-kata itu terus menjalar ke dalam jiwanya. Menyentuh naluri kewanitaannya.
"Biarlah aku berterus terang, " sambung Dino dengan tenang. Terasa peluh dingin menjalar di tubuhnya. Matanya merenung ke dalam anak mata Andrea."Aku tidak ingin bercinta dengan kamu. Aku mahu ajak kau kawin."
Andrea ketawa  dengan tiba-tiba mendengar kata-kata Dino.  Sungguh melucukan, fikirnya.
“Aku serius ni.Kita boleh jadi pasangan yang paling bahagia di dunia ini. Kita akan bercinta selepas kawin. Kita akan buka klinik persendirian kerana kita tidak terikat dengan mana-mana kontrak. Lepas tu aku akan hantar kau sambung belajar untuk jadi pakar dalam bidang pembedahan plastik. Bidang yang kau minat selama ini.”
Memang Andrea tidak nafikan yang Dino  memang beriya-iya. Dia jarang melihat gelagat Dino begitu serious. “Tunggu. Tunggu sekejap.” Dia mengangkat tangannya ke paras bahu. “Kau sedar ataupun tidak apa yang kau katakan ni?” tanya Andrea. Masih terpinga-pinga dengan tingkah laku dan mendengar tutur kata Dino yang selama ini terkenal dengan perwatakan lucunya.
"Aku tidak main-main. Aku sudah beritahu famili aku. Mereka semua setuju.”
“Kamu jangan merepek,” kata Andrea. Matanya sudah beralih ke tempat lain.
“Kenapa kau menolak?  Aku tahu kamu tidak ada teman lelaki selama kamu di sini. Rekod kamu bersih. Rekod aku juga bersih. Kau pun tahu aku tidak pernah dikaitkan dengan mana-mana perempuan.”
Andrea terdiam mendengar kata-kata Dino. Dia cuba mencari kebenaran dalam kata-kata itu. Melihat Andrea hampir tumpas dalam perbicaraan itu, Dino menyambung lagi. “Mengakulah yang kamu juga sukakan aku. Walaupun dalam diam kerana aku sudah faham selama berkawan dengan kamu. Kamu tegas dengan prinsip hidup kamu tetapi kamu juga adalah seorang begitu penyayang dan prihatin.”
Andrea ketawa kecil. Melihat Andrea ketawa, Dino merasa tersinggung. Kenapa dia ketawa? Apa yang melucukan? “Jangan malu untuk mengaku. Kalau tidak masakan kamu mahu menghabiskan banyak masa dengan aku. Malah 90% daripada tugasan, kita buat sama-sama. Praktikal pun sama-sama. Sehingga pelajar-pelajar lain bercerita di belakang kita. Kononnya kita ini merpati dua sejoli.” Berkobar-kobar Dino menghambat nostalgia mereka bersama.
“Tentu  kamu masih ingat peristiwa ketika sesi diseksi di bilik bedah. Waktu itu kamu hampir pengsan ketika melihat mayat orang mati terbakar! Kamu terlentuk dalam pelukanku. Dan kamu menangis. Tersedu sedan dalam pelukan aku. Padahal ada ramai lagi kawan-kawan lain berada di dalam di sebelahmu ketika itu....” Dino masih mahu menyambung tetapi Andrea cepat-cepat memotong...

 

Syukur - Ramadhan Al-Mubarak



Alhamdulillah hari ini aku
 masih bernafas
masih melihat
masih mendengar
masih tersimpuh pada-MU
masih bersujud di bumi-MU
masih menadah tanganku
masih mendongak ke langit-MU
masih dengan lafaz :
Astaghfirullah halaziim
Allazii laillah haillah huwal hayyum qayuum
Waatubuillaih.
Masih dan terus mengharap 
redha-MU 
YA HAYYU YA QAYUUM.