Search This Blog

Monday 11 May 2015

Anugerah Novelis Prolifik 2015





Alhamdulillah ...

Moga dengan anugerah ini, diberi-NYA daku kekuatan akal, jasmani dan emosi untuk terus menulis.

Mohon juga agar para pembaca budiman mendoakan agar kumampu untuk terus bergiat dalam bidang yang mencabar ini.

Terima kasih atas doa kalian dan kujuga doakan kebahagiaan dan kesejahteraan  buat semua.

Salam sayang.

Tuesday 7 October 2014

Humairah Si Pipi Merah...

 


“Maaf, saya tak boleh jumpa awak,” jawabku tegas. “Awak sudah berkahwin. Jadilah suami yang setia. Isteri awak sangat baik lagi jelita. Apa lagi yang awak mahu?” “Tapi, dia tak serupa kamu. Saya lihat kamu tadi, sungguh bergaya dan anggun. Cara kami berpakaian berubah 100%. Cuma yang tidak berubah ialah pipimu yang masih merah. I rindukan you. I masih sayangkan you.” “Antonio, penampilan you juga masih belum berubah. Kata-katamu selalu menggoda. Tetapi you sudah beristeri.” Aku mengingatkan dia. “My sweetheart, my darling. I kahwin kerana I tak dapat cari you. You hilang. Last I telefon, I dengar you pergi Australia. You duduk sana. Mana I nak cari you? Australia tu bukan kecil. You tak boleh salahkan I. Bukan I tinggalkan you. You yang tinggalkan I. Tapi I masih setia dengan agama you.” ‘Alhamdulillah...’ jawabku dalam hati. Antonio masih merayu di hujung talian. Aku naik rimas. Bab aku dengan Antonio sudah lama tutup. Aku tidak mahu membuka bab itu kembali. Cukuplah. Kenapa aku harus bertemu dengan lelaki ini lagi? Dunia ini kan besar? Tetapi saat ini, dunia ini semakin mengecil dan menghimpit aku dengan kenangan silam yang ingin aku lupakan. Namun, kudratku terlalu lemah untuk menolak kehadiran kenangan silam itu.

Thursday 18 September 2014

Humairah, pipimu merah!


Petikan dari Bab 1... “Masukla dalam kereta aku dulu. Tengok, pipi kau tu...” Kamisya menunjukkan ke arah pipiku, “dah makin merah kena matahari. Aku tak boleh tengok pipi merah kau tu. Eee...mula aku nak cubit ni...” Dia mengetap bibir. Geram. Dia memanjangkan tangannya ke arah pipiku, tapi aku segera menutup kedua-dua belah pipiku dengan tapak tangan. Bimbang kalau-kalau Kamisya dapat mencubit pipiku.... (The making of novel ke 5 : Humairah, pipimu merah!) Tunggu kemunculan 'Humairah...' Disember 2014 nanti...

Friday 12 September 2014

Bicara tentang Berjuta Warna Pelangi

Bicara tentang Berjuta Warna Pelangi... Dua orang pembaca yang pertama kali membaca hasil karya Kak Iris menghantar mesej melalui Whatsapp : Kata pembaca pertama: Sy x dapat menjiwai cerita BWP kerana ada frasa Indon... Kata pembaca kedua : As a whole I love ur story...byk m.jiwai jiwa kanak-kanak...mjadikan airmata p.baca terlalu murah...really touching especially d one whom u call Ricky. He's nearly similar to my love to my hubby... how deep his love to Andrea. Kesimpulannya : Saya terima kedua-duanya dengan minda terbuka dan sangat teruja atas feedback yang diberi. Berjuta terima kasih.. Apa pendapat anda yang sudah membaca BWP? Boleh pm Kak Iris...:)

Tuesday 5 August 2014

TERKEJUT!

Memang sangat terkejut apabila 'Katakan Ya Talia', menjadi pilihan pembaca akhbar Sinar Harian untuk Anugerah GBK2013 yang lalu untuk Kategori buku Kanak-kanak. Alhamdulillah... Terima kasih buat semua yang telah memilih buku ini. Tanpa kalian siapalah 'Talia...'

Monday 7 October 2013

Setelah Hati Berbunga - Prolog 2


Prolog 2

 “Syafiiiq!” jerit kakaknya. “Semalam lipstik akak ada atas meja solek ni. Sekarang dah ghaib! Kamu mesti tahu mana lipstik kakak tu!”

Syafiq muncul di muka pintu bilik kakaknya. “Eleh, Kak Sal  ni. Mana kita tahu!” Syafiq menarik muka masam. Matanya menjeling tajam ke arah kakaknya yang sedang bercekak pinggang.   “Hilang lipstik, tuduh kita! Hilang bedak, tuduh kita! Hilang baju dalam pun, tuduh kita. Nasib baik hilang seluar dalam tak tuduh kita! Ingat kita suka sangat ambil barang dia!”

“Habis kalau bukan Syafiq yang ambil, sapa yang nak ambil? Sapa lagi yang ada dalam rumah ni? Takkan nenek kebayan yang ambil pulak.” Muka kakaknya sudah mencuka.

“Nenek kebayan oooi...” jerit Syafiq nyaring. “Tolong bagi tau siapa yang ambil lipstik kakak akuuu...” Syafiq mempermainkan kakaknya.

“Tengok, bibir tu merah, kalau bukan lipstik akak yang Syafiq pakai, lipstik sapa? Tak malu, orang lelaki  pakai lipstik!”

“Oops!” Syafiq bergegas ke bilik tidurnya. Cepat-cepat dia mencapai tisu, lalu mengesat  bibirnya yang merah bergincu. ‘Habis rahsia aku!’ Dia membuka laci. Tangannya ligat mencari sesuatu di hujung laci. ‘Ah, ada pun.’ Dia bergegas semula ke luar bilik, mendapatkan kakaknya yang masih merah padam mukanya dan tangan di pinggang.

“Maaf. Mak masak kari, adik naik lori, masuk dalam kuari, terus dia menari.” Syafiq menjulingkan matanya sambil menghulurkan lipstik kakaknya, dengan lagak orang yang sedang menari.

Kakaknya mengambil lipstik. “Biul betul kamu ni! Apa kena kari, lori, kuari  dengan lipstik akak?”

“Itu pantun spontan namanya. Kakak ni tak ada seni bahasa langsung.”

“Itu bukan pantun spontan. Tapi pantun pondan!” Kakaknya mencebik.

“Tak baik sebut perkataan ‘pondan’ tau! Sensitif sampai ke tulang hitam!” Melihat kakaknya hendak melangkah pergi, dia memanggil, “Kak,  jangan pergi dulu. Syafiq nak pinjam sesuatu dari akak. Boleh?”

“Pinjam?! Ini mesti kes nak pinjam baju akak lagi. Akak beritahu opah nanti.”

“Eh, jangan lah beritahu opah. Nanti opah kena sakit jantung,  menyesal seumur hidup kakak.”

“Cabulnya mulut! Nak pinjam apa kali ni? Gelang? Rantai? ”

Syafiq tersengih-sengih. Giginya yang jarang nampak jelas. Tangannya menggeliat ke kiri dan kanan.

“Pinjam apa?” tanya kakaknya tidak sabar lagi. “Terliuk-lintuk macam cacing kepanasan.  Geli akak tengok. Cakap je lah. Biar terang,  jelas dan  nyata!”

“Pinjam beg tangan merah akak, boleh?” Syafiq tersengih lagi.

 “Beg merah? Mana akak ada beg merah? Yang mengerlip, opah punya  tu adalah. Nak buat apa?”

“A..ah, yang itu lah. Tak payah tanya kita nak buat apa. Suka hati kitalah. Takkan nak buat pergi mengail ikan pulak. Yang penting, akak bagi pinjam ke tidak?” Suara Syafiq sudah separuh merajuk.

“Kalau tak mahu kasi tahu nak buat apa, kakak tak bagi pinjam.”

“Alah, kakak  ni menyibuk  pulak.” Mulut Syafiq sudah muncung.  Ada pertunjukan fesyen di sekolah.”

“Syafiq yang nak pakai ya!”

“Kawan Syafiqlah! Banyak betul soalan kakak. Macam inspektor polis pulak. Nak bagi pinjam ke tidak?” Syafiq mendesak.

“Ambillah. Tapi jaga elok-elok tau. Beg tu dah tak ada lagi di Malaysia ni. Antik!”

Syafiq tersenyum girang. Dia mengenyitkan matanya dengan manja. “Macam itulah caranya. Kakak tua ayam didik, kakak yang tua sayangkan adik.” Syafiq ketawa sambil berlenggang masuk ke dalam biliknya.

“Eee, tak habis-habis dengan pantun dia tu. Geli!” kata kakaknya tetapi dalam pada itu, dia bangga dengan kebolehan adiknya pantas bermain dengan kata-kata.

 Setelah Syafiq berlalu, Salmah memerhati langkah adiknya dengan sayu. ‘Kesian adik aku. Apalah nak jadi dengan dia nanti? Boleh ke dia betul-betul jadi lelaki suatu hari nanti. Patutnya dia jadi pengganti ayah, tapi...” Salmah mengeluh panjang. Matanya mula berkaca-kaca.

Friday 13 September 2013

Katakan Ya, Talia - Bab 1







 
Bab 1

 “Talia,” panggil Areef, bekas kawan sekelasnya semasa di Tingkatan 3. “Talia!”

Talia menoleh. Tetapi dia tidak menyahut.  Dia meneruskan langkahnya yang pantas menuju ke pintu pagar utama sekolah.

“Talia,” panggil Areef lagi. Kali ini dia berlari ke arah Talia. “Kenapa tergesa-gesa ni? Janji nak makan tengahari di kantin bersama-sama saya hari ini.” Suara Areef termengah-mengah.

“Saya nak balik,” jawab Talia, tanpa memandang Areef dan dia melangkah terus menuju ke perhentian bas.

“Kenapa ni Talia? Masam macam buah mangga muda je?” usik Areef sambil tersenyum, menampakkan lesung pipit.

Usikan Areef membuat muka Talia bertambah kelat.

“Ai, sudahlah masam, kelat pula. Saya ada buat salah apa-apa terhadap awak ke? Semalam awak elok je. Awak marahkan saya sebab saya tak sempat teman awak makan di kantin pagi tadi? Saya terbangun lewat la. Semalam saya tengok bola sampai pukul 4 pagi. Awak maafkan saya ya.”

Talia menjeling tajam ke arah Areef. Tiba-tiba wajah ummi dan papa menjengah di benaknya. Dia mengeluh panjang. Saat itu juga bas sekolah sudah sampai. Tanpa berkata apa-apa dia menaiki bas itu, meninggalkan Areef yang kebingungan. 

“Isy. Susah nak layan mood orang perempuan ni.” Areef menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia memandang ke arah bas sekolah pergi dengan perasaan hampa.   “Entah-entah dia tengah period.” Areef meneka. Dia tersenyum. “Esuk baiklah dia tu. Kalau tidak esuk, lusa. Kalau tidak lusa, tulat.” Areef cuba memujuk hatinya menuju ke tempat letak motosikal.

        

TALIA memegang tangan papanya erat. Papanya tidak berkata apa-apa. Hanya mereka berdua sahaja berjalan-jalan di taman yang begitu asing bagi Talia. Dia memakai baju gaun merah, berbaju sejuk biru.  Ketika itu umurnya   dalam lingkungan 3 tahun. Umminya tidak kelihatan.

          Di taman itu, bunga-bunga daisi putih dan bunga-bunga kuning kecil  melata di atas tanah. Terasa dingin sehingga sampai ke tulang hitam. Dia mendongak ke langit biru. Kelihatan sedikit tompokan awan putih lagi bersih. 

          Tiba-tiba seekor anjing hitam yang sama tinggi dengannya meluru ke arah mereka dari arah hadapan. Dia terkejut dan lalu melepaskan tangan papanya. Dia membuka langkah seribu.

          “Talia! Talia! Jangan lari! Anjing itu tidak akan mengapa-apakan kamu jika kamu tidak lari,” jerit papanya. Namun Talia tidak peduli. Dia merapatkan matanya dan berlari sekuat tenaga.

Tiba-tiba dia membuka mata. Terasa peluh dingin membasahi tubuhnya. Ah! Aku bermimpi rupa-rupanya, kata Talia. Entah bila dia terlelap. Dia mengerling ke arah jam loceng di atas meja.  11.00 malam.

Suasana sekeliling senyap sunyi. Pasti ummi juga sudah tidur di dalam biliknya. Dia menarik semula bantal peluknya. Mindanya masih berlegar pada mimpi sekejap tadi.

Matanya sudah tidak mahu pejam lagi. Tangannya meraba ke bawah bantal. Mencari-cari diari merah hadiah papa yang masih baru biarpun sudah setengah tahun berlalu.

Dia bencikan papa! Sungguh dia benci! Kerana itu hadiah pemberian papa  dibiarkan begitu saja. Tetapi semalam dia mencari semula diari itu dengan bersungguh-sungguh. Untuk pertama kalinya dia mencatatkan sesuatu di dalam diari itu.

Perlahan-lahan Talia  membuka diari itu. Matanya liar memandang catatan yang ditulisnya semalam.

Tarikh : Jun, Minggu pertama

Aku cukup geram dan benci pada semua orang hari ini! Mengapa semua orang mesti marah bila aku ketawa?

“Oooi, kalau nak ketawa tu, biarlah bersopan sikit. Bunyi macam monyet ketawa.” Aku dengar suara salah seorang pelajar perempuan di belakang kelas mengata aku! “Kalau monyet kurus tak apa juga. Ini monyet gemuk yang suka makan pisang montel.”

Berdesing teling aku dibuatnya. Aku tak pasti suara betina mana sebab kelas terlalu bising waktu itu.

Kemudian aku terdengar pula  seorang pelajar lelaki menyampuk, “Monyet betina memang macam tu! Suka mengilai macam hantu dalam hutan!” Disambut dengan hilai ketawa budak-budak lelaki yang lain.

Aku semakin geram. Aku toleh ke belakang. Telinga aku merah. Muka aku tadi berseri-seri kini bertukar menjadi geram! Apalagi aku terus bangkit dari kerusi. Dengan bercekak pinggang, aku menjerit. “Siapa yang kata aku monyet tadi?” Suara aku lantang seperti pelakon teater yang sedang beraksi di atas pentas. “Jawab!” Bagai halilintar aku menjerit.

Talia masih ingat kektika itu semua pelajar terdiam. Semua tunduk memandang lantai.   Matanya menyasar ke arah setiap pelajar  yang seramai 37 orang di dalam kelasnya. Kemudian matanya terpaku pada Jazly. Pelajar kacukan orang putih dan orang Melayu yang baru dua hari masuk ke kelas. ‘Tidak mungkin pelajar baru itu begitu berani mengata aku,’ hatinya berbisik.

“Kenapa semua macam tikus? Kalau berani bersuaralah. Jangan berani di belakang. Dasar manusia pengecut!” Dia melaung lagi seperti singa lapar.

Suasana dalam kelas terus  senyap tetapi kali ini semua mata tertumpu kepadanya. Dia terus bertempik. “Bagi tahu aku, berapa kali kau orang pernah dengar aku ketawa macam monyet hah? Selalu ke aku ketawa  macam ni? Kalau aku ketawa kamu mengata! Kalau aku menangis pun kau orang mengata juga!”.

Badannya menggeletar.

Mei Ling memegang tangannya. “Sudahlah Talia,” pujuk Mei Ling.  

Dia tidak peduli! Dia benar-benar sudah terbakar! Sabarnya  sudah hilang. Dia mahu menyambung lagi. Tetapi dia teringat kata-kata ustazah. Tarik nafas 10 kali ketika marah. Baca Qulhuallah hu ahad berulang kali. Ketika itu juga dia ternampak Cikgu Amirah melangkah masuk ke dalam kelas.

Cikgu Amirah hairan. “Kenapa Tingkatan 4 SS3 senyap sunyi?” tanya Cikgu Amirah sinis sambil matanya memandang sekeliling. “Kamu semua sihat?”

Hasrat hatinya untuk terus membelasah kawan-kawan sekelasnya terpaksa dibatalkan saja. Dia tunduk memandang mejanya. Tiba-tiba terasa airmatanya  hangat mengalir ke pipi. Cepat-cepat dia menyeka airmata. Bimbang  ada kawan lain terlihat dan akan mengejeknya.

“Dalam mata pelajaran Sejarah, kita mahu memupuk  semangat setia negara.” Cikgu Amirah memulakan pengajarannya. “Talia, beri satu contoh bagaimanakah caranya kita hendak menunjukkan semangat itu.”

Dia terkejut apabila terdengar Cikgu Amirah menyebut namanya. Apa lagi, semua mata sekali lagi tertumpu kepadanya ‘Ah, benci! Kenapa aku yang jadi sasaran hari ini!’ Dia  merungut perlahan. Panasnya masih belum reda.

“Talia, kenapa kamu masih duduk? Tolong berikan satu contoh.” Pinta Cikgu Amirah lagi.

Dia jadi gugup. Lututnya lemah. Dia tidak dapat bangun. Punggungnya terpaku pada kerusi dan kepalanya masih tunduk memandang Buku Sejarah di atas meja.  Dia dapat rasakan kawan-kawan yang lain sudah pasti akan mengejeknya lagi selepas ini.

“Berani dan sanggup mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara...” tiba-tiba ada suara yang menjawab dari belakang. Suara lelaki yang lunak dan teratur sebutannya bagi setiap perkataan.

Serentak semua kepala berpaling ke belakang. Mencari-cari suara siapakan tadi. Termasuk dia.

“Siapa yang jawab tadi?” tanya Cikgu Amirah.

Tidak seorang pun berbunyi. Seperti ada malaikat yang lalu.

“Tepat jawapan tu,” puji Cikgu Amirah. “Bagus. Nasib baik ada yang menyelamatkan Talia.”

Beberapa orang pelajar bertepuk tangan. Ada yang bersiul-siul girang. Cikgu Amirah menggelengkan kepalanya kemudian dia meneruskan pengajarannya pada hari itu.

Baginya, hari itu Kelas Sejarah berlalu begitu saja. Hambar. Satu fakta pun tidak masuk  ke dalam mindanya. Dia masih tertanya-tanya siapa yang memanggilnya ‘monyet betina’ sebelum itu dan siapa pula yang menjawab soalan yang diberikan oleh Cikgu Amirah tadi.

TALIA terkejut kerana pintu biliknya dibuka. Secepat kilat dia menyorokkan diari merah di bawah bantal. Rasa geram masih belum reda.

          “Kamu belum tidur?” tegur Puan Maryam. “Dah dekat pukul 12 tengah malam. Esuk nak bangun pagi. Berapa kali ummi nak ingatkan. Penat badan kalau tidur tak cukup. Tak boleh tumpu pada pelajaran nanti.” Puan Maryam sudah memulakan khutbah malam.

          Tekaannya salah tadi. Ingatkan umminya sudah tidur.

“Ummi pergi tidur dulu. Sekejap lagi saya tidur.”

“Tiap-tiap malam kamu suruh ummi tidur dulu. Lepas tu entah pukul berapa pula kamu akan tidur. Bila pagi liat nak bangun. Cakap ummi ni sikit pun tak laku. Susah betul budak-budak sekarang. Kita cakap salah, kita tak cakap pun salah juga!” Puan Maryam sempat berleter sebelum berlalu. Dia terpaksa meninggalkan bilik anaknya. Matanya sudah berat. Berserabut otaknya memikirkan hal anak gadis tunggalnya itu.