“Kalian makanlah dulu. Aku nak ke bilik air sebentar,” kata
Azrin terus bangun meninggalkan mereka berdua, yang duduk bertentangan. Muka Andrea
semakin tunduk memandang hidangan di hadapan matanya.
Dino mendekatkan hidangan kepada Andrea. “Silakan makan Andrea.
Rezeki di depan mata tak baik jika tidak disentuh. Aku ikhlas belanja kau
makan.” Dino rindukan suara Andrea yang sentiasa prihatin terhadap makanan.
Selalu benar jika mereka di kantin, Andrea selalu mengingatkan dia supaya
jangan membazir makanan. Setiap kali dia makan, pinggannya pasti licin.
“Aku minta maaf. Bukan niatku untuk menghampakan harapanmu.”
Tiba-tiba tersembur kata-kata itu dari mulut Andrea. Tanpa diduga dan tanpa
dirancang. Dia rasa menyesal dengan kata-katanya. Tetapi sudah terlambat.
“Aku yang patut minta maaf. Meminta untuk dicintai dan
menodai persahabatan kita dengan rasa cinta.” Dino mengambil kesempatan yang
diberikan.
Mendengar kata-kata Dino, kerongkong Andrea tiba-tiba tersumbat.
Kata-kata itu terus menjalar ke dalam jiwanya. Menyentuh naluri kewanitaannya.
"Biarlah aku berterus terang, " sambung Dino
dengan tenang. Terasa peluh dingin menjalar di tubuhnya. Matanya merenung ke
dalam anak mata Andrea."Aku tidak ingin bercinta dengan kamu. Aku mahu
ajak kau kawin."
Andrea ketawa dengan
tiba-tiba mendengar kata-kata Dino.
Sungguh melucukan, fikirnya.
“Aku serius ni.Kita boleh jadi pasangan yang paling bahagia
di dunia ini. Kita akan bercinta selepas kawin. Kita akan buka klinik persendirian
kerana kita tidak terikat dengan mana-mana kontrak. Lepas tu aku akan hantar
kau sambung belajar untuk jadi pakar dalam bidang pembedahan plastik. Bidang
yang kau minat selama ini.”
Memang Andrea tidak nafikan yang Dino memang beriya-iya. Dia jarang melihat gelagat
Dino begitu serious. “Tunggu. Tunggu sekejap.” Dia mengangkat tangannya ke
paras bahu. “Kau sedar ataupun tidak apa yang kau katakan ni?” tanya Andrea.
Masih terpinga-pinga dengan tingkah laku dan mendengar tutur kata Dino yang
selama ini terkenal dengan perwatakan lucunya.
"Aku tidak main-main. Aku sudah beritahu famili aku.
Mereka semua setuju.”
“Kamu jangan merepek,” kata Andrea. Matanya sudah beralih ke
tempat lain.
“Kenapa kau menolak?
Aku tahu kamu tidak ada teman lelaki selama kamu di sini. Rekod kamu
bersih. Rekod aku juga bersih. Kau pun tahu aku tidak pernah dikaitkan dengan
mana-mana perempuan.”
Andrea terdiam mendengar kata-kata Dino. Dia cuba mencari
kebenaran dalam kata-kata itu. Melihat Andrea hampir tumpas dalam perbicaraan
itu, Dino menyambung lagi. “Mengakulah yang kamu juga sukakan aku. Walaupun
dalam diam kerana aku sudah faham selama berkawan dengan kamu. Kamu tegas
dengan prinsip hidup kamu tetapi kamu juga adalah seorang begitu penyayang dan
prihatin.”
Andrea ketawa kecil. Melihat Andrea ketawa, Dino merasa
tersinggung. Kenapa dia ketawa? Apa yang melucukan? “Jangan malu untuk mengaku.
Kalau tidak masakan kamu mahu menghabiskan banyak masa dengan aku. Malah 90%
daripada tugasan, kita buat sama-sama. Praktikal pun sama-sama. Sehingga
pelajar-pelajar lain bercerita di belakang kita. Kononnya kita ini merpati dua
sejoli.” Berkobar-kobar Dino menghambat nostalgia mereka bersama.
“Tentu kamu masih
ingat peristiwa ketika sesi diseksi di bilik bedah. Waktu itu kamu hampir
pengsan ketika melihat mayat orang mati terbakar! Kamu terlentuk dalam
pelukanku. Dan kamu menangis. Tersedu sedan dalam pelukan aku. Padahal ada
ramai lagi kawan-kawan lain berada di dalam di sebelahmu ketika itu....” Dino
masih mahu menyambung tetapi Andrea cepat-cepat memotong...