Search This Blog
Thursday, 18 September 2014
Humairah, pipimu merah!
Friday, 12 September 2014
Bicara tentang Berjuta Warna Pelangi
Bicara tentang Berjuta Warna Pelangi...
Dua orang pembaca yang pertama kali membaca hasil karya Kak Iris menghantar mesej melalui Whatsapp :
Kata pembaca pertama:
Sy x dapat menjiwai cerita BWP kerana ada frasa Indon...
Kata pembaca kedua :
As a whole I love ur story...byk m.jiwai jiwa kanak-kanak...mjadikan airmata p.baca terlalu murah...really touching especially d one whom u call Ricky. He's nearly similar to my love to my hubby... how deep his love to Andrea.
Kesimpulannya :
Saya terima kedua-duanya dengan minda terbuka dan sangat teruja atas feedback yang diberi. Berjuta terima kasih.. Apa pendapat anda yang sudah membaca BWP? Boleh pm Kak Iris...:)
Tuesday, 5 August 2014
Monday, 7 October 2013
Setelah Hati Berbunga - Prolog 2
Syafiq muncul di muka pintu bilik kakaknya. “Eleh,
Kak Sal ni. Mana kita tahu!” Syafiq
menarik muka masam. Matanya menjeling tajam ke arah kakaknya yang sedang
bercekak pinggang. “Hilang lipstik,
tuduh kita! Hilang bedak, tuduh kita! Hilang baju dalam pun, tuduh kita. Nasib
baik hilang seluar dalam tak tuduh kita! Ingat kita suka sangat ambil barang
dia!”
“Habis kalau bukan Syafiq yang ambil, sapa
yang nak ambil? Sapa lagi yang ada dalam rumah ni? Takkan nenek kebayan yang
ambil pulak.” Muka kakaknya sudah mencuka.
“Nenek kebayan oooi...” jerit Syafiq nyaring.
“Tolong bagi tau siapa yang ambil lipstik kakak akuuu...” Syafiq mempermainkan
kakaknya.
“Tengok, bibir tu merah, kalau bukan lipstik
akak yang Syafiq pakai, lipstik sapa? Tak malu, orang lelaki pakai lipstik!”
“Oops!” Syafiq bergegas ke bilik tidurnya.
Cepat-cepat dia mencapai tisu, lalu mengesat
bibirnya yang merah bergincu. ‘Habis rahsia aku!’ Dia membuka laci.
Tangannya ligat mencari sesuatu di hujung laci. ‘Ah, ada pun.’ Dia bergegas
semula ke luar bilik, mendapatkan kakaknya yang masih merah padam mukanya dan
tangan di pinggang.
“Maaf. Mak masak kari, adik naik lori, masuk
dalam kuari, terus dia menari.” Syafiq menjulingkan matanya sambil menghulurkan
lipstik kakaknya, dengan lagak orang yang sedang menari.
Kakaknya mengambil lipstik. “Biul betul kamu
ni! Apa kena kari, lori, kuari dengan
lipstik akak?”
“Itu pantun spontan namanya. Kakak ni tak ada
seni bahasa langsung.”
“Itu bukan pantun spontan. Tapi pantun pondan!”
Kakaknya mencebik.
“Tak baik sebut perkataan ‘pondan’ tau!
Sensitif sampai ke tulang hitam!” Melihat kakaknya hendak melangkah pergi, dia
memanggil, “Kak, jangan pergi dulu.
Syafiq nak pinjam sesuatu dari akak. Boleh?”
“Pinjam?! Ini mesti kes nak pinjam baju akak
lagi. Akak beritahu opah nanti.”
“Eh, jangan lah beritahu opah. Nanti opah
kena sakit jantung, menyesal seumur
hidup kakak.”
“Cabulnya mulut! Nak pinjam apa kali ni?
Gelang? Rantai? ”
Syafiq tersengih-sengih. Giginya yang jarang
nampak jelas. Tangannya menggeliat ke kiri dan kanan.
“Pinjam apa?” tanya kakaknya tidak sabar
lagi. “Terliuk-lintuk macam cacing kepanasan. Geli akak tengok. Cakap je lah. Biar
terang, jelas dan nyata!”
“Pinjam beg tangan merah akak, boleh?” Syafiq
tersengih lagi.
“Beg
merah? Mana akak ada beg merah? Yang mengerlip, opah punya tu adalah. Nak buat apa?”
“A..ah, yang itu lah. Tak payah tanya kita
nak buat apa. Suka hati kitalah. Takkan nak buat pergi mengail ikan pulak. Yang
penting, akak bagi pinjam ke tidak?” Suara Syafiq sudah separuh merajuk.
“Kalau tak mahu kasi tahu nak buat apa, kakak
tak bagi pinjam.”
“Alah, kakak
ni menyibuk pulak.” Mulut Syafiq
sudah muncung. Ada pertunjukan fesyen di
sekolah.”
“Syafiq yang nak pakai ya!”
“Kawan Syafiqlah! Banyak betul soalan kakak.
Macam inspektor polis pulak. Nak bagi pinjam ke tidak?” Syafiq mendesak.
“Ambillah. Tapi jaga elok-elok tau. Beg tu
dah tak ada lagi di Malaysia ni. Antik!”
Syafiq tersenyum girang. Dia mengenyitkan
matanya dengan manja. “Macam itulah caranya. Kakak tua ayam didik, kakak yang
tua sayangkan adik.” Syafiq ketawa sambil berlenggang masuk ke dalam biliknya.
“Eee, tak habis-habis dengan pantun dia tu.
Geli!” kata kakaknya tetapi dalam pada itu, dia bangga dengan kebolehan adiknya
pantas bermain dengan kata-kata.
Setelah Syafiq berlalu, Salmah memerhati
langkah adiknya dengan sayu. ‘Kesian adik aku. Apalah nak jadi dengan dia
nanti? Boleh ke dia betul-betul jadi lelaki suatu hari nanti. Patutnya dia jadi
pengganti ayah, tapi...” Salmah mengeluh panjang. Matanya mula berkaca-kaca.
Friday, 13 September 2013
Katakan Ya, Talia - Bab 1
Bab 1
Talia
menoleh. Tetapi dia tidak menyahut. Dia
meneruskan langkahnya yang pantas menuju ke pintu pagar utama sekolah.
“Talia,”
panggil Areef lagi. Kali ini dia berlari ke arah Talia. “Kenapa tergesa-gesa
ni? Janji nak makan tengahari di kantin bersama-sama saya hari ini.” Suara Areef
termengah-mengah.
“Saya
nak balik,” jawab Talia, tanpa memandang Areef dan dia melangkah terus menuju
ke perhentian bas.
“Kenapa
ni Talia? Masam macam buah mangga muda je?” usik Areef sambil tersenyum,
menampakkan lesung pipit.
Usikan
Areef membuat muka Talia bertambah kelat.
“Ai,
sudahlah masam, kelat pula. Saya ada buat salah apa-apa terhadap awak ke?
Semalam awak elok je. Awak marahkan saya sebab saya tak sempat teman awak makan
di kantin pagi tadi? Saya terbangun lewat la. Semalam saya tengok bola sampai
pukul 4 pagi. Awak maafkan saya ya.”
Talia
menjeling tajam ke arah Areef. Tiba-tiba wajah ummi dan papa menjengah di
benaknya. Dia mengeluh panjang. Saat itu juga bas sekolah sudah sampai. Tanpa berkata
apa-apa dia menaiki bas itu, meninggalkan Areef yang kebingungan.
“Isy.
Susah nak layan mood orang perempuan
ni.” Areef menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia memandang ke arah bas
sekolah pergi dengan perasaan hampa. “Entah-entah dia tengah period.” Areef meneka. Dia tersenyum. “Esuk baiklah dia tu. Kalau
tidak esuk, lusa. Kalau tidak lusa, tulat.” Areef cuba memujuk hatinya menuju
ke tempat letak motosikal.
TALIA memegang tangan papanya erat. Papanya tidak berkata
apa-apa. Hanya mereka berdua sahaja berjalan-jalan di taman yang begitu asing
bagi Talia. Dia memakai baju gaun merah, berbaju sejuk biru. Ketika itu umurnya dalam lingkungan 3 tahun. Umminya tidak
kelihatan.
Di taman itu, bunga-bunga daisi putih dan
bunga-bunga kuning kecil melata di atas
tanah. Terasa dingin sehingga sampai ke tulang hitam. Dia mendongak ke langit
biru. Kelihatan sedikit tompokan awan putih lagi bersih.
Tiba-tiba seekor anjing hitam yang
sama tinggi dengannya meluru ke arah mereka dari arah hadapan. Dia terkejut dan
lalu melepaskan tangan papanya. Dia membuka langkah seribu.
“Talia! Talia! Jangan lari! Anjing itu
tidak akan mengapa-apakan kamu jika kamu tidak lari,” jerit papanya. Namun Talia
tidak peduli. Dia merapatkan matanya dan berlari sekuat tenaga.
Tiba-tiba
dia membuka mata. Terasa peluh dingin membasahi tubuhnya. Ah! Aku bermimpi
rupa-rupanya, kata Talia. Entah bila dia terlelap. Dia mengerling ke arah jam
loceng di atas meja. 11.00 malam.
Suasana
sekeliling senyap sunyi. Pasti ummi juga sudah tidur di dalam biliknya. Dia
menarik semula bantal peluknya. Mindanya masih berlegar pada mimpi sekejap
tadi.
Matanya
sudah tidak mahu pejam lagi. Tangannya meraba ke bawah bantal. Mencari-cari diari
merah hadiah papa yang masih baru biarpun sudah setengah tahun berlalu.
Dia
bencikan papa! Sungguh dia benci! Kerana itu hadiah pemberian papa dibiarkan begitu saja. Tetapi semalam dia mencari
semula diari itu dengan bersungguh-sungguh. Untuk pertama kalinya dia mencatatkan
sesuatu di dalam diari itu.
Perlahan-lahan
Talia membuka diari itu. Matanya liar
memandang catatan yang ditulisnya semalam.
Tarikh : Jun, Minggu pertama
Aku cukup geram dan benci pada semua orang hari
ini! Mengapa semua orang mesti marah bila aku ketawa?
“Oooi, kalau nak ketawa tu, biarlah
bersopan sikit. Bunyi macam monyet ketawa.” Aku dengar suara salah seorang
pelajar perempuan di belakang kelas mengata aku! “Kalau monyet kurus tak apa
juga. Ini monyet gemuk yang suka makan pisang montel.”
Berdesing teling aku dibuatnya. Aku tak
pasti suara betina mana sebab kelas terlalu bising waktu itu.
Kemudian aku terdengar pula seorang pelajar lelaki menyampuk, “Monyet
betina memang macam tu! Suka mengilai macam hantu dalam hutan!” Disambut dengan
hilai ketawa budak-budak lelaki yang lain.
Aku semakin geram. Aku toleh ke belakang.
Telinga aku merah. Muka aku tadi berseri-seri kini bertukar menjadi geram!
Apalagi aku terus bangkit dari kerusi. Dengan bercekak pinggang, aku menjerit.
“Siapa yang kata aku monyet tadi?” Suara aku lantang seperti pelakon teater
yang sedang beraksi di atas pentas. “Jawab!” Bagai halilintar aku menjerit.
Talia masih ingat kektika itu semua pelajar
terdiam. Semua tunduk memandang lantai.
Matanya menyasar ke arah setiap pelajar
yang seramai 37 orang di dalam kelasnya. Kemudian matanya terpaku pada Jazly.
Pelajar kacukan orang putih dan orang Melayu yang baru dua hari masuk ke kelas.
‘Tidak mungkin pelajar baru itu begitu berani mengata aku,’ hatinya berbisik.
“Kenapa semua macam tikus? Kalau berani
bersuaralah. Jangan berani di belakang. Dasar manusia pengecut!” Dia melaung
lagi seperti singa lapar.
Suasana dalam kelas terus senyap tetapi kali ini semua mata tertumpu
kepadanya. Dia terus bertempik. “Bagi tahu aku, berapa kali kau orang pernah
dengar aku ketawa macam monyet hah? Selalu ke aku ketawa macam ni? Kalau aku ketawa kamu mengata!
Kalau aku menangis pun kau orang mengata juga!”.
Badannya menggeletar.
Mei Ling memegang tangannya. “Sudahlah Talia,” pujuk
Mei Ling.
Dia tidak peduli! Dia benar-benar sudah terbakar!
Sabarnya sudah hilang. Dia mahu
menyambung lagi. Tetapi dia teringat kata-kata ustazah. Tarik nafas 10 kali ketika
marah. Baca Qulhuallah hu ahad berulang kali. Ketika itu juga dia
ternampak Cikgu Amirah melangkah masuk ke dalam kelas.
Cikgu Amirah hairan. “Kenapa Tingkatan 4 SS3 senyap
sunyi?” tanya Cikgu Amirah sinis sambil matanya memandang sekeliling. “Kamu
semua sihat?”
Hasrat hatinya untuk terus membelasah kawan-kawan
sekelasnya terpaksa dibatalkan saja. Dia tunduk memandang mejanya. Tiba-tiba
terasa airmatanya hangat mengalir ke
pipi. Cepat-cepat dia menyeka airmata. Bimbang ada kawan lain terlihat dan akan mengejeknya.
“Dalam mata pelajaran Sejarah, kita mahu
memupuk semangat setia negara.” Cikgu
Amirah memulakan pengajarannya. “Talia, beri satu contoh bagaimanakah caranya
kita hendak menunjukkan semangat itu.”
Dia terkejut apabila terdengar Cikgu Amirah
menyebut namanya. Apa lagi, semua mata sekali lagi tertumpu kepadanya ‘Ah, benci!
Kenapa aku yang jadi sasaran hari ini!’ Dia merungut perlahan. Panasnya masih belum reda.
“Talia, kenapa kamu masih duduk? Tolong berikan
satu contoh.” Pinta Cikgu Amirah lagi.
Dia jadi gugup. Lututnya lemah. Dia tidak dapat bangun.
Punggungnya terpaku pada kerusi dan kepalanya masih tunduk memandang Buku
Sejarah di atas meja. Dia dapat rasakan
kawan-kawan yang lain sudah pasti akan mengejeknya lagi selepas ini.
“Berani dan sanggup mempertahankan
kedaulatan bangsa dan negara...” tiba-tiba ada suara yang menjawab dari
belakang. Suara lelaki yang lunak dan teratur sebutannya bagi setiap perkataan.
Serentak semua kepala berpaling ke belakang. Mencari-cari
suara siapakan tadi. Termasuk dia.
“Siapa yang jawab tadi?” tanya Cikgu Amirah.
Tidak seorang pun berbunyi. Seperti ada malaikat
yang lalu.
“Tepat jawapan tu,” puji Cikgu Amirah. “Bagus.
Nasib baik ada yang menyelamatkan Talia.”
Beberapa orang pelajar bertepuk tangan. Ada yang
bersiul-siul girang. Cikgu Amirah menggelengkan kepalanya kemudian dia
meneruskan pengajarannya pada hari itu.
Baginya, hari itu Kelas Sejarah berlalu begitu saja. Hambar. Satu
fakta pun tidak masuk ke dalam mindanya.
Dia masih tertanya-tanya siapa yang memanggilnya ‘monyet betina’ sebelum itu dan
siapa pula yang menjawab soalan yang diberikan oleh Cikgu Amirah tadi.
TALIA terkejut kerana pintu biliknya dibuka. Secepat kilat dia
menyorokkan diari merah di bawah bantal. Rasa geram masih belum reda.
“Kamu belum tidur?” tegur Puan Maryam.
“Dah dekat pukul 12 tengah malam. Esuk nak bangun pagi. Berapa kali ummi nak
ingatkan. Penat badan kalau tidur tak cukup. Tak boleh tumpu pada pelajaran
nanti.” Puan Maryam sudah memulakan khutbah malam.
Tekaannya salah tadi. Ingatkan umminya
sudah tidur.
“Ummi
pergi tidur dulu. Sekejap lagi saya tidur.”
“Tiap-tiap
malam kamu suruh ummi tidur dulu. Lepas tu entah pukul berapa pula kamu akan
tidur. Bila pagi liat nak bangun. Cakap ummi ni sikit pun tak laku. Susah betul
budak-budak sekarang. Kita cakap salah, kita tak cakap pun salah juga!” Puan
Maryam sempat berleter sebelum berlalu. Dia terpaksa meninggalkan bilik
anaknya. Matanya sudah berat. Berserabut otaknya memikirkan hal anak gadis
tunggalnya itu.
Saturday, 31 August 2013
Bulan Madu di Yarra Valley - Bab 1
SUASANA bingit. Sudah berkali-kali telefon di atas meja penyambut tetamu
itu berdering tanpa jawapan.
“Aneeta, tolonglah angkat telefon tu,” pinta David Tan yang sedang
menyusun gambar-gambar klien yang baru dicetak untuk dijadikan kolaj. Klien
yang baru melangsungkan perkahwinan mereka seminggu yang lalu.
“Saya pun tengah sibuk ni! Tugasan yang diberikan kepada saya perlu siap
hujung minggu ini.” Aneeta mengeluh, tetapi dia bangun juga untuk menjawab
panggilan telefon itu.
Beberapa minit kemudian, Aneeta kembali ke mejanya. Tekaknya berasa loya
dan badan sedikit terhuyung-hayang. Matanya sudah berpinar-pinar memandang
skrin komputer sejak jam 8.00 pagi tadi.
“Panggilan untuk awak lagi? Kali ini klien yang mana pula?” tanya David
Tan.
“Siapa lagi? Puan Sri Laila! Dia tengah risau.”
“Awak pergilah rehat dulu. Dah pukul 11.30. Pandang skrin komputer
lama-lama tak bagus untuk mata dan fizikal kita. Dari semalam, saya tengok awak
sangat stres.” David Tan menghampiri meja Aneeta. Wajah kacukan itu ditenungnya
lama-lama.
“Kalau saya pergi rehat sekarang, tengah hari nanti, Puan Sri Laila
telefon, saya nak jawab apa?” Dahi Aneeta berkerut seribu. Rambutnya yang lurus
paras bahu itu diselak ke belakang.
“Puan Sri dah beritahu bos, perkahwinan putera sulungnya dengan pelakon
wanita yang tengah panas sekarang, mesti lain daripada yang lain. Dia nak
jadikan wedding of the year! Pening kepala saya memikirkannya. Itu yang
saya sedang buat research ni, untuk dapatkan kelainan itu. Kenapalah bos
tak beri tugasan ini kepada staf lain... ” Bunyinya seperti Aneeta merungut,
tetapi yang sebenarnya terselit rasa bangga kerana dia diberi kepercayaan itu.
“Awak kan seorang yang kreatif, positif dan sangat komited. Awak adalah
seorang perancang perkahwinan yang sudah menjadi sebutan dan rebutan di Plan-to-Wed
ni. Pilihan awak ada kelas gitu! Jadi, tak hairanlah kalau bos mahu awak
yang rancang dan uruskan perkahwinan anak Puan Sri Laila,” puji David Tan yang
fasih berbahasa Melayu.
“Awak pun apa kurangnya. Mahir dalam bidang fotografi. Pengantin yang
cantik jadi lebih cantik apabila dah siap di photoshop. Tapi, saya tak
termakan pun dengan pujian awak yang tinggi melangit tu. Yang penting, selepas
uruskan perkahwinan anak Puan Sri, saya nak pergi bercuti. Cuti panjang! Tahun
ini saja sudah lima perkahwinan yang saya uruskan!”
“Kalau bos tak luluskan, awak nak buat apa?” usik David Tan.
Aneeta menjegilkan biji matanya. “Kalau bos tak luluskan, saya akan
berhenti kerja! Buat bisnes sendiri!”
David Tan teruja mendengar kata-kata Aneeta hendak membuka perniagaan
sendiri. Dengan suara yang separuh berbisik dia berkata, “kalau macam tu awak
kahwin dengan saya. Kita buat bisnes ni sama-sama. Saya boleh carikan modal.”
“Kahwin dengan awak?!” Terbeliak mata Aneeta memandang David Tan. “Jauh
panggang daripada api. Selagi tak ada percikan api cinta dari dalam sanubari
ini, jangan harap saya akan kahwin.”
“Takkan sikit pun awak tak ada perasaan terhadap saya?” David Tan
menduga.
Aneeta ketawa. “David, dalam kamus hidup saya, perkataan cinta tak
pernah wujud tau. Dulu, kini dan selamanya!”
“Saya tak percaya!” David Tan menggelengkan kepalanya berkali-kali.
“Perempuan jelita macam awak tak pernah bercinta? Mustahil! Saya masih ingat
tahun lepas, ada bakal pengantin lelaki yang hampir memutuskan pertunangannya
kerana jatuh cinta dengan awak. Ketika itu, saya berdoa siang dan malam agar
awak menolak cintanya. Ternyata Tuhan makbulkan doa saya itu.” Air muka David
Tan serius.
Aneeta tergelak mendengar kata-kata David Tan. “Apa itu cinta? Apa ada
pada cinta? Semuanya palsu! Ada orang bercinta bagi nak rak. Kahwin macam
anak-anak raja. Tapi cuba awak lihat, sudah berapa pasangan yang kita uruskan,
yang awak ‘klik’ sana, ‘klik sini, album kahwin sampai 20 buah. Itu tak
termasuk video kahwin, dan inai masih merah di jari, tetapi pinggang mangkuk
sudah berterbangan. Akhirnya dari uda dan dara, mereka bergelar duda dan
janda!” Berjela-jela Aneeta mentafsirkan falsafahnya tentang cinta dan
perkahwinan.
David Tan mengeluh panjang. Dia cuba mencari helah untuk mematahkan
hujah Aneeta. “Tapi kalau awak bercinta dengan saya, saya berjanji tidak akan
jadi macam tu! Sumpah!” David Tan mengangkat tangan kanannya ke paras bahu.
Aneeta menyambut kata-kata David Tan dengan senyuman sinis. “Cinta? Awak
ingat saya percaya pada cinta? Saya boleh mati kering sebab tidak ada cinta
dalam hidup saya? Biar saya jelaskan ya, Encik David Tan. Cinta itu ibarat
pelangi tau. Datang tak diundang. Cantik, tapi tak boleh dimiliki!”
“Jadi awak anggap diri awak tu pelangi? Cantik, tetapi tidak boleh
dimiliki?” David Tan mengulangi kata-kata Aneeta.
“Tak, saya tak pernah meletakkan diri saya begitu. Cuma orang yang
percaya wujudnya cinta, terjerumus ke lembah percintaan, akhirnya lemas dan
hanyut dalam lautan cinta. Tak fasal-fasal hidup mereka merana kerana cinta
yang tak bermakna! Uh, saya sungguh simpati dengan mereka. Saya tak mahu jadi
orang bodoh, mengejar pelangi!”
David Tan sudah hampir tumpas. Dia menatap wajah itu lagi. “Bijaknya
awak berhujah tentang cinta. Bunyinya macam orang pernah gagal dalam
bercinta...”
Belum pun sempat David Tan menghabiskan ayatnya, Aneeta mencelah dengan
nada yang agak tinggi. “Tolong sikit ya! Saya tidak pernah bercinta, tidak akan
bercinta dan tidak mahu bercinta. Noktah!” Aneeta bangun. “Permisi dulu! Saya
nak pergi minum kopi!”
“Saya temankan awak!”
“Terima kasih saja.”
Aneeta terus bangun, meninggalkan David Tan yang terkulat-kulat
memandang lenggang-lengguk Aneeta menuju ke pintu keluar. ‘Keras betul hati perempuan
jelita tu. Atau memang dia sengaja nak jual mahal. Tidak pun dia sedang
menunggu anak raja turun dari kayangan baru dia nak kahwin. Alamat jadi anak
dara bongkoklah jawabnya!’
ANEETA
balik semula ke mejanya. Matanya melilau ke arah meja David Tan. Lelaki
itu tidak ada. Aneeta tersenyum sendirian. ‘Merajuk agaknya anak muda itu.’ Dia
menarik kerusi dan duduk semula menghadap skrin komputer.
Pada buku nota di sebelah komputer, dia ternampak ada sekeping nota pada
kertas berpelekat merah jambu. Dia kenal benar tulisan itu...
Saya percaya CINTA akan terus mengejar awak!
Aneeta ketawa kecil. ‘Tak puas hati nampaknya dia. Masih nak berdebat
soal cinta dengan aku! Malas aku nak layan!’’
Dia menghadap skrin komputernya semula. Dia perlu kumpulkan maklumat untuk
dibincangkan dengan Puan Sri Laila apabila Puan Sri menelefon nanti. Pada
sesarang Google, dia menaip ‘wedding in Australia.’
Terpapar pelbagai pautan dan antaranya ialah Yarra Valley. ‘Yarra
Valley? Hmmm...tak pernah aku dengar tempat ni...’
Belum sempat dia klik pada pautan yang terpapar, telefon bimbitnya
berdering. Aneeta mengerling pada jam di dinding. Jam 12.45 tengah hari. Pasti
Puan Sri Laila yang menelefon.Tekaannya tepat!
“Awak sudah dapat idea untuk perkahwinan anak saya?”
“Err...” Sebenarnya dia masih belum bersedia. “Err...” ligat otaknya
mencari jawapan. Jawapan yang munasabah. “Apa kata kalau kita buat perkahwinan
tu dalam kereta api? Err... coach wedding,” spontan Aneeta menjawab.
Entah dari mana dia mendapat ilham itu!
“Apa? Coach wedding? Tak pernah orang buat!”
“Ya, coach wedding! Garden wedding, pool wedding, seaside wedding,
semua orang sudah buat. Naik kuda, naik perahu, naik kapal, naik helikopter,
naik belon pun orang sudah buat. Apa kata untuk perkahwinan anak Puan Sri, kita
buat dalam kereta api. Sewa koc kelas satu. Kita hias cantik-cantik. Pelamin
dalam koc mewah. Semua jemputan naik kereta api. Makan pun dalam keretapi. Kita
bawa mereka dari stesen kereta api Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Tan Sri kan
orang Johor. Mesti Tan Sri suka dan meriah!”
Puan Sri Laila termangu-mangu mendengar cadangan Aneeta. ‘Biar betul ni.
Wedding of the year atas kereta api!’ Puan Sri Laila terdiam seketika sambil
berfikir. ‘Hmm... tapi memang betul kata dia. Belum pernah orang buat,
bersanding di dalam kereta api. Mesti lain dari yang lain!’
“Okey, saya setuju! Wedding of the year on the train! Tapi, ini
rahsia kita berdua. Awak jangan hebahkan kepada sesiapa. Terutama kepada
para wartawan! Awak boleh mula merancangnya.” Puan Sri Laila terus meletakkan
telefon.
Tiba-tiba Aneeta seakan-akan tersedar daripada kekalutannya tadi. ‘Eh,
apa yang aku cakap pada Puan Sri tadi? Kahwin atas kereta api? Mana pernah
orang buat?! Boleh sukses ke?’
Aneeta menongkat dagu di atas meja. Dia cuba membayangkan anak Puan Sri
Laila dengan pelakon wanita popular itu melangsungkan perkahwinan atas kereta
api. ‘Okey, juga. Tapi, apa kata bos nanti? Mungkin dia ingat aku sudah tak
betul! Logik ke nak adakan majlis perkahwinan di dalam kereta api? Tapi, kalau
dia kata memang unik idea aku ni, setuju ke Tan Sri dan anak bujang dia nanti?’
Berkerut dahi Aneeta memikirkannya....
Setelah Hati Berbunga - Prolog 1
Prolog 1
Lelaki itu berjalan mundar-mandir. Mukanya kelat dan sesekali mengetap bibir. Matanya merah, bersinar-sinar memandang ke arah isterinya yang sedang menangis terisak-isak di tepi dinding dapur. Sudah sebulan dia menahan marah. Marah kerana dia menerima panggilan daripada seorang lelaki. Lelaki itu membuka rahsia kecurangan isterinya dengan bekas suaminya. Agar marahnya tidak berlarutan, dia membawa isterinya pulang ke rumah ayah dan emaknya di kampung.
Petang itu ketika emak dan ayahnya keluar ke pekan dan isterinya berada di dapur, dia menerima panggilan daripada lelaki yang sama. Memberitahu perkara yang sama. Kini lahar marahnya kembali membuak-buak.
Sebelum pulang ke kampung, dia menyoal isterinya secara baik. "Betul awak tidak ada apa-apa hubungan dengan bekas suami awak?"
Isterinya menafikan. Ketika itu tahap marahnya masih terkawal. Tetapi, kini sabarnya sudah benar-benar tercabar apabila pemanggil itu memanggilnya Pak Sanggup, lelaki dayus dan lelaki bacul.
"Baik awak mengaku! Awak sebenarnya ada hubungan sulit dengan bekas suami awak. Kalau awak tak nak mengaku juga, baik awak bungkus kain baju awak, saya hantar awak ke stesyen bas sekarang juga!" Lelaki itu merenung tepat ke dalam mata isterinya.
"Astaghfirullahalaziim. Percayalah abang, demi anak yang saya kandung ini, setelah kami bercerai saya tidak ada hubungan apa-apa dengan dia! Tolonglah abang, jangan percaya. Semua tu fitnah..." Isterinya merayu lagi
Dia menyeringai ke arah isterinya. “Awak ingat saya ni bodoh sangat. Baju yang awak pakai pun dia boleh gambarkan pada saya. Masa dan ketikanya awak keluar pun dia tahu, masih tak jelas? Dan waktu itu, saya sedang berkursus di luar daerah. Tup-tup sembilan bulan lepas tu, awak mengandung!”
Kemudian dia menuding jari telunjuknya ke arah perut isterinya. “Sah, anak yang ada dalam perut awak tu, hasil hubungan sulit awak dengan bekas suami awak! Dan saya pulak yang terpaksa jadi pak sanggup! Sia-sia saya pilih dan tunggu awak untuk jadi suri dalam hidup saya!”
Isterinya hanya mampu menangis terisak-isak dengan menutup mukanya dengan kedua-dua telapak tangan. Perutnya yang memboyot terasa senak setelah terjatuh akibat terlanggar kerusi makan kerana mahu meluntut ke kaki suami.
Lelaki itu masih tidak berpuas hati. “Awak dengar sini baik-baik...” Membuak-buak dada lelaki itu menahan marah. Bengisnya menjadi-jadi seperti harimau kelaparan. “Saya tak mahu jadi suami dayus! Awak tu, pakai tudung! Tutup lingkup! Mengaji siang malam. Mulut bertasbih tak berhenti. Alim konon. Mahukan anak yang soleh! Tapi mengandung anak haram!”
Isterinya terus menangis. Tapi kali ini tangisannya lain benar. Tangis memohon belas dan kasihan sambil memegang perutnya. Kata-kata kesat suaminya sudah tidak kedengaran di telinganya. Yang dia tahu perutnya berdenyut-denyut.
“Aduh! Perut saya sakit, bang. Tolonglah saya...” rayunya dengan lelehan air mata.
“Jangan minta tolong dengan saya. Pergilah cari bekas suami awak! Dia bapa budak dalam perut tu! Biar anak itu mati, saya tidak peduli! Kalau dia hidup pun, buat malu keluarga!”
“Dah pecah ketuban, bang!” Muka isterinya pucat. Serta-merta isterinya berhenti menangis. “Tolonglah bang, bawa saya ke hospital...” Suaranya tertahan-tahan. Tubuh itu mengigil-gigil menahan kesakitan. Dia menyapu air mata yang tersisa dengan hujung lengan baju.
Lelaki itu nampak kain isterinya dibasahi air ketuban. Namun, sedikit pun tidak ada riak simpati pada muka lelaki itu. Yang ada hanya kebengisan dan kemarahan yang bergelora seperti lautan di musim tengkujuh.
“Tolonglah... saya. Kalau pun abang tak kesiankan saya, kesiankanlah anak yang bakal lahir ini.” Tangannya masih menampung perutnya yang semakin memulas-mulas tanda saat kelahiran semakin hampir.
“Eh, awak jangan mimpi yang saya akan tolong awak lahirkan budak tu!” Dia tersenyum pahit tanpa mempedulikan isterinya yang sedang mengerang kesakitan. “Saya bukan lelaki dayus tau! Boleh terima perbuatan sumbang awak! Kalau awak mati, anak awak pun ikut mati, dah kurang dua manusia berdosa dalam dunia ini!”
Petang itu, iblis memang sudah benar-benar memenuhi seluruh ruang dan urat nadinya. Dia bukan lagi manusia normal tetapi sudah diresapi dengan bisikan iblis. Dia tidak nampak, iblis sedang ketawa berdekah-dekah kerana lelaki itu sudah dapat ditaklukinya dengan api kemarahan.
“Astaghfirullahalazim...” Isterinya mengucap panjang kemudian dia menarik nafas perlahan-lahan. Giginya dikacip rapat, menahan sakit dengan mata tertutup. Kain yang dipakaiya semakin kuyup.
Ketika itu, juga Haji Zakaria dan isterinya, Hajah Rukiah sampai di muka pintu. Mereka terkejut melihat menantunya, terjelepok di atas lantai. Serentak mereka mengucap panjang. Hajah Rukiah berlari naik dan terus memangku menantunya.
“Eh, Ehsan! Apa dah jadi?” jerkah Haji Zakaria, menjegilkan matanya ke arah Ehsan. “Kami tahu, walaupun Natrah tu isteri kamu, tapi dia anak orang! Kamu dah buang tabiat ke? Cepat kita bawa dia ke hospital! Nama saja Ehsan! Tapi, kat mana kamu campak ihsan kamu pada isteri kamu ni? Lelaki jenis apa kamu ini?” Tegang urat leher orang tua itu memarahi anaknya.
“Ayah nak bersubahat dengan perempuan jalang ini? Suka hati ayahlah! Saya tak nak ambil tahu. Tak nak masuk campur! Dan jangan cari saya selepas ni. Mulai hari ini, dia dengan anak dalam perut tu sekali adalah tanggungjawab mak dan ayah!” Ehsan terus angkat kaki. Dia menghempas pintu depan. Mengejutkan ayah, emak dan isterinya. Lalu dia keluar dari rumah dan menghilangkan diri dalam kegelapan malam...
Subscribe to:
Posts (Atom)




