Search This Blog

Monday, 9 April 2012

Ho Chi Minh@Saigon

Ho Chi Minh atau dulu lebih dikenali dengan Saigon menjadi destinasi terbaruku. Aku belum pernah ke sana dan destinasi ini menjadi sebutan ramai teman-teman membuatkan aku kepingin untuk melihat sendiri.

Bagi mereka yang pernah atau sering berulang-alek ke  sana, pemandangan yang aku rakamkan di sini pastinya sudah tidak asing lagi...

Perjalanan dari airport ke hotel...



 Aku terpandang sebuah masjid terletak di antara bangunan baru di jalan besar...




Sungai Mekong dari balkoni bilik jam 5.30 pagi




Kebetulan musim buah mangga. Aku sempat membelinya 3 biji lebih kurang 2 kilo setengah dengan harga RM15 atau 100,000 VDG (Dong)






Salah sebuah stesyen petrol di District 1



Joly dan Dang yang sentiasa melayan kami dengan mesra sepanjang kami tinggal di sana. 



Saigon Opera House waktu malam



Sempat juga aku berfoto di hadapan Opera House ketika persembahan tradisional diadakan  



Jangan terpedaya dengan penarik beca! Jika anda mahu naik juga tunjukkan wang anda terlebih dahulu...kerana kami sudah tertipu...terpaksa bayar hampir RM20 ...walhal kalau jalankaki tak sampai 10 minit...
    


Jadi Mrs. Saigon sekejap....




Kunjunganku 4 hari 3 malam ke Saigon hanya berlegar di sekitar kotanya. Kemungkinan aku akan ke sana lagi untuk keluar dari kota Saigon dan melihat daerah-daerah di Hanoi pula...InsyaAllah.

Thursday, 29 March 2012

Dhaka, Bangladesh

Kini sudah hampir 2 tahun saya berulang-alek ke Dhaka, Bangladesh. Banyak juga khazanah berbentuk visual yang sempat saya kumpulkan di samping memorabilia lain. Ini adalah antara visual yang menjadi kenangan manis saya.

Sehari di Dhaka River Port Sadarghat....


VIP Entrance ....saya tidak pasti bila VIP menggunakan pelabuhan ini. Pelabuhan ini merupakan pelabuhan yang 'terbesar' di bandar Dhaka.

Ramai sungguh kanak-kanak yang lebih kurang seperti dalam foto di atas berlari-larian atau bermandi-manda di sini. Dan mereka kelihatan begitu gembira.


Hari itu cuaca terik sekali. Saya difahamkan sungai ini menjadi 'nadi' kepada penduduk di sepanjang sungai ini untuk aktiviti serta kegunaan harian mereka.


Hati saya tersentuh sayu melihat anak kecil ini menjunjung barang di atas kepalanya sebaik sahaja  keluar dari kapal. Saya sudah tidak ingat bilakah kali terakhir saya melihat kanak-kanak seusia dengan kanak-kanak di atas menjunjung di negara kita. Namun keluarga ini tersenyum senang apabila saya meminta izin untuk mengambil gambar mereka. 


Kebetulan waktu ini musim buah kedondong. Kedondon di sini amat besar lebih kurang sebesar buah jambu dan begitu banyak. Para penjaja akan mengopek buah-buah tersebut. Mereka makan dengan gula yang dicampur dengan asam. Rangup dan sedap seperti buah mangga muda.


Ermmm...jangan pandang sebelah mata...mereka juga berkomunikasi canggih meskipun di atas sampan kecil.
  
Akhir sekali sempat juga saya bersama-sama Ratna dari Kedutaan Brunei, menaiki sampan dan menikmati cuaca panas di Sungai Sadarghart.



Apa agaknya pendapat anda tentang lawatan sehari saya di sini? Boleh tinggalkan nota di Facebook saya :Iris Ixora Novelis

Saya akan kembali mencatatkan perjalanan saya ke tempat lain pula...insyaAllah. 

Friday, 23 March 2012

Jauh berjalan luas pandangan...

Benar kata pepatah orang dulu-dulu,  'jauh berjalan luas pandangan'. Bukan saja luas pandangan tetapi bagiku semakin jauh berjalan semakin rindu pada kampung halaman.






Memang teruja bila dapat melihat negara orang atau berada di rantauan namun, jauh di sudut hati kecilku, aku masih mahukan cuaca panas dan hujan di negeri sendiri. Makan  nasi berlauk ikan masak lemak atau ikan sembilang masak sambal berlada...Ooh sedapnya.

Biarpun sejuknya udara di Ratingen, Germany, aku tetap rindukan suasana sejuk di Cameron Highlands....




Benar juga kata orang tua-tua, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri namu ada juga yang memilih hujan emas di negeri orang kerana hujan batu di negeri sendiri amat menyakitkan...benarkah?

Thursday, 15 March 2012

MCK 4 - Adik...maafkan Akak


SOFIA HANNAH menolak dengan rakus pintu bilik yang dikongsi bersama-sama dengan adiknya, Sofia Hannim. Kemudian, dia mencampakkan beg sekolahnya ke atas katil.

Sofia Hannim yang sedang tekun membuat kerja sekolah terkejut dengan tindakan kakaknya itu. Dadanya berdebar kencang. Tentu ada sesuatu yang membuatkan kakaknya marah. Dia ingin bertanya tetapi dia tidak berani berkata apa. Takut kakaknya menengking atau mengherdiknya seperti selalu. Matanya melirik ke arah langkah kasar kakaknya ke bilik air.

Dum! Bunyi daun pintu dihempas kuat. Sekali lagi bagaikan mahu putus jantung Sofia Hannim apabila mendengar dentuman pintu. Entah apa yang membangkit rasa marah kakaknya kali ini, fikir Sofia Hannim yang memang sudah faham sangat dengan  sikap panas baran kakaknya itu.
"Hannim!" jerit Hannah dari dalam bilik air. "Mana pergi tuala aku?" Aku sangkut belakang pintu pagi tadi?"
Hannim cepat-cepat bangun.....

Itulah antara intro dalam cerita Adik...maafkan Akak.  Cerita yang sangat menyentuh kalbu saya dan juga editor cerita ini...
Nak tahu apa sudahnya? Ikuti kisah Hannah dan adiknya Hannim dalam siri Merah Cinta Kita ke 4 dan inilah cover dan ilustrasi dalam buku tersebut.

Selamat membaca...


Monday, 12 March 2012

Semalam di Kota Singa

Minggu lepas aku mendarat di Budget Changi Airport untuk bertemu kawan baikku Sheri yang kukenal di Istanbul dan kini pulang untuk kembali menetap di tanahairnya Singapura. Aku ke sana menaiki Firefly.

Melihat kembali Kota Singa setelah hampir 20 tahun aku tidak ke sana, biarpun hanya sesekali singgah di Cangi Airport terasa lain benar. Meskipun bersihnya tetap sama, gahnya tetap serupa namun ada sedikit kelainan.

Rata-rata bangsa asing seperti orang Filipina dan  bangsa Cina dari Tanah Besar kelihatan ramai. Penduduk asal Singapura kebanyakannya sudah berumur. Hmmm... aku tertanya-tanya apa yang sebenarnya sudah terjadi?

Di pusat membeli belah juga aku temui beberapa orang pekerja dari Malaysia. Bila ditanya, seronok tak kerja di Singapura? Jawab mereka, "BEST! Transport bagus, gaji lumayan. Makan lebih murah." Betul ke? Dalam hatiku tertanya-tanya kerana tukaran wang ketika ini lebih kurang RM2.45  baru dapat SIN1.00.

Apapun Sheri begitu baik sekali terhadapku. Kami ke Harbour View untuk naik sampan pelancong, lepas itu ke Kampung Bugis untuk melawat Masjid Sultan dan paling menyeronokkan sehari suntuk di Universal Studio!

Terima kasih Sheri. Ben cok seviyorum. (Saya sangat menyayangi kamu dalam bahasa Turki)

Inilah gambar-gambar kenangan semalamku di Singapura...









Monday, 27 February 2012

Winter in Istanbul




Melihat gambar-gambar ini, terkenang aku ketika pertama kali menjejakkan kakiku di bumi Istanbul, Turki kira-kira enam tahun yang lalu. Ketika itu aku disambut oleh satu meter salji! Empat hari lamanya aku terperap di hotel. Panorama sungguh menawan. Begitu memukau. 

Pada mulanya aku tidak menyangka yang Istanbul boleh dilitupi salji setebal itu. Tetapi setelah empat tahun menetap di sana, aku jadi rindu pada salji di Istanbul.

Ketika musim sejuk begini, para pemuda dan pemudi akan keluar menggayakan fesyen musim sejuk terkini. Namun masih ada yang meminta-meminta di jalanan dan ada juga yang mati kesejukan!



Melihat dan menghayati kehidupan di musim sejuk di sana, membuatkan aku terpanggil untuk menitipkan pengalaman dan realiti kehidupan masyarakat Turki di sana. Maka  lahirlah novel ke 2 ...



Novel ini bukan saja dekat di hatiku malah aku menerima banyak maklumbalas yang mengatakan mereka dapat rasakan dinginnya salji di Istanbul melalui lembutnya Dilara dan kudusnya cinta Orhan!

Istanbul, aku jadi semakin rindu pada saljimu.... 

Friday, 24 February 2012

MCK 3 - Perangkap Sugar Daddy

Sedutan Siri MCK 3 - ms : 57 ...

Gadis itu menghulurkan tangannya. "Saya Faten Nabella. Panggil saya Bella. Awak?"

"Siti Salina. Panggil saya err..."

Dengan muka selamba Bella berkata, "Tak glamor sungguh nama awak. Saya panggil awak, Sally. Boleh? Tidaklah kampung sangat."

Muka Siti Salina yang tadinya putih berseri-seri berubah menjadi merah seperti udang kena bakar. Rasa malu dengan kata-kata Bella mula menjalar dalam dirinya. Kampung sangat ke nama Siti Salina?

Nak tahu apa yang  terjadi kepada Siti Salina selepas kejadian itu? Ikuti Perangkap Sugar Daddy dalam siri Merah Cinta Kita buku 3 (Kisyah Budak Junior Masterchef).